Selasa, 9 Jun 2009

bapak lu punya ka?




Sentral: Tidak boleh letak tong kosong di petak kereta

Oleh Zulhilmi Hat
hilmi@bharian.com.my


PEMILIK bengkel meletak tong bagi menghalang pengguna meletak kereta di Uptown, Damansara.

PBT boleh kompaun pemilik premis lakukan kesalahan

KUALA LUMPUR: Cuba anda bayangkan apabila rancangan membawa keluarga menikmati makan tengah hari di restoran kegemaran di Uptown Damansara, terbantut hanya gara-gara tiada tempat untuk meletak kenderaan.

Puas mengelilingi kawasan dan terjumpa petak kosong, tetapi apabila mendekatinya terdapat beberapa tong kosong berwarna kuning terpacak di tempat letak kereta itu.Sekali lagi kecewa dan hasrat untuk menjamu selera bersama keluarga, terus terbantut.

Inilah masalah yang sering dihadapi pengunjung kawasan berkenaan dan semua masalah itu berpunca daripada sikap pemilik bengkel dan kedai aksesori yang membolot lebih daripada satu petak tempat letak kereta yang dikhaskan kepada pelanggannya.

Tinjauan wartawan Sentral di sekitar Uptown dan Dataran Sunway, Damansara mendapati pemilik bengkel meletakkan halangan terbabit di tempat letak kereta awam.

Difahamkan pemilik premis ini meletakkan pelbagai halangan seperti kerusi, kon, tong kosong dan papan tanda untuk menghalang orang ramai meletakkan kenderaan di kawasan berhampiran premis mereka.

Masalah ini berlaku sejak premis terbabit mula beroperasi dan tindakan yang diambil PBT untuk mengekang masalah yang berlarutan hingga hari ini tidak memberi kesan kepada pemilik premis itu.

Pegawai Perhubungan Awam Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Zainun Zakaria, berkata tiada kuasa untuk mana-mana pemilik premis meletakkan atau memiliki tempat letak kereta sendiri tanpa kebenaran majlis.

Katanya, perbuatan pihak terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 iaitu dikompaun dan premis mereka disita.

“Denda maksimum sebanyak RM500 akan dikenakan kepada premis yang melakukan kesalahan ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau menambah, pemilik premis hanya boleh menyewa tapak kereta itu daripada majlis untuk tujuan sebagai laluan masuk kenderaan dalam premis mereka.

“Kadar sewaan adalah sebanyak RM400 sebulan. Kelulusan ruang sewa petak juga ditentukan selepas pegawai majlis yang turun padang melihat semua syarat, yang ditetapkan.

“Selepas itu, garisan dengan cat merah akan dibuat di kawasan yang hanya dikhaskan untuk premis itu saja,” katanya.

Sementara itu, pemilik kenderaan, Selva Nathan, 61, berkata masalah tiada tempat letak kenderaan itu lebih meruncing di waktu kemuncak ketika orang ramai datang makan tengah hari di kawasan berkenaan.

“Kadangkala saya terpaksa meronda dengan kereta kira-kira setengah jam untuk mencari tempat letak kereta itu. Keadaan seperti ini akan menyusahkan semua pihak jika dibiarkan berlanjutan.

“Saya terpaksa berfikir dua kali untuk datang ke kawasan ini untuk makan atau urusan lain memandangkan tempat letak kereta yang terhad dan ditambah lagi sikap pemilik bengkel di sini yang membolot tempat kereta awam,” katanya.

Aiman Abd Karim, 26, berkata tindakan pemilik premis terbabit membolot petak letak kenderaan mengundang kemarahan pengguna lain, yang terpaksa meletakkan kenderaan mereka di kawasan larangan.

“Akibatnya, kami menerima saman atas tindakan yang berpunca daripada pemilik premis yang sesuka hati ‘menempah’ tempat letak kereta sendiri,” katanya.

Jayendran, 26, meminta pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas menangani masalah itu.

2 ulasan:

  1. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  2. aku sepai kat kawasan aku,kedai mamak kooling,kedai apek...kul 3 petang dah siap taruk kerusi meja kat tempat parking..
    aku pernah tengok pbt angkut mamak punya kerusi/meja..esoknya dan sampai la ni masih buat lagi...tak makan saman betul..ada masukkkk sama itu olang ka?

    BalasPadam