Selasa, 30 Jun 2009
RENDAM BAYI
KUANTAN 30 Jun - Polis akan memburu teman lelaki kepada seorang wanita yang merendam bayi perempuannya hingga mati di dalam baldi cat di sebuah rumah sewa di Wisma Bola Sepak Pahang, di sini semalam.
Bagaimanapun, suspek hanya akan dikenal pasti selepas polis selesai menyoal siasat wanita berkenaan yang kini masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusoff berkata, lelaki terbabit dicari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
"Wanita yang terlibat dalam kejadian itu kini masih dalam keadaan trauma dan kesihatannya belum stabil," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan seorang wanita berusia 26 tahun yang tertekan dengan teman lelakinya nekad merendam bayi perempuan yang baru dilahirkan di dalam baldi cat kira-kira pukul 6.30 pagi di dalam tandas bilik sewaannya di wisma itu.
Wanita berkenaan yang baru dua hari menyewa di situ ditemui oleh rakan penghuni rumah sewa tersebut selepas mereka terdengar tangisan bayi yang datang dari arah tandas berkenaan.
Menurutnya, soal siasat ke atas wanita yang berasal dari Felda Keratong, Muadzam Shah dekat Rompin itu akan dibuat selepas dia disahkan sihat sepenuhnya.
"Kita masih menunggu sehingga dia benar-benar sihat sepenuhnya untuk disoal siasat," jelasnya.
mati bersalin
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi
imas@hmetro.com.my
JOHOR BAHRU: Sedih dan menyayat hati! Itu nasib malang seorang bekas pelajar wanita berusia 26 tahun yang ditemui mati dipercayai akibat pendarahan serius selepas melahirkan anak dalam keadaan serba kekurangan di sebuah bilik asrama di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai dekat sini, petang kelmarin.
Lebih malang lagi, bekas pelajar tahun empat itu dipercayai menderita keseorangan ketika melahirkan anak dan hanya ditemui kira-kira jam 5 petang, selepas lebih dua hari Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Kejadian disedari ketika minggu orientasi pelajar baru berlangsung apabila beberapa pelajar mengadu kepada ahli jawatankuasa (AJK) minggu orientasi ada sebuah bilik asrama berbau busuk.
Berikutan itu seorang daripada AJK minggu orientasi memeriksa bilik berkenaan yang berkunci dari dalam itu.
AJK terbabit membuat aduan kepada pengetua kolej kediaman sebelum pengawal keselamatan diarah menyiasat.
Sebaik pintu dibuka, pengawal keselamatan terbabit terkejut melihat sekujur tubuh tanpa seurat benang terbaring kaku dengan percikan darah di lantai.
Lebih mengejutkan, penemuan bayi lelaki yang sudah tidak bernyawa tidak jauh dari mayat wanita itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Ruslan Hassan, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat wanita berkenaan sebelum bergegas ke tempat kejadian.
“Berdasarkan siasatan, mangsa berasal dari Kelantan dan belum berkahwin. Dia disahkan meninggal dunia sekurang-kurangnya dua hari sebelum ditemui.
“Kami percaya besar kemungkinan kematian mangsa berpunca daripada pendarahan serius selepas bersalin.
“Namun, kita tetap meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa dan melihat sama ada wujud kemungkinan ada unsur jenayah,” katanya.
Ruslan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pasangan wanita terbabit pelajar di kampus sama.
“Buat masa ini kami dalam proses mengenal pasti pasangan wanita berkenaan bagi membantu siasatan, manakala mangsa sudah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi polis Johor di talian 07-2212999 atau tampil ke balai polis untuk membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pendaftar Perhubungan Media UTM, Sabri Ahmad, ketika dihubungi memberitahu mangsa sudah ditamatkan pengajiannya pada Januari lalu selepas gagal pada peperiksaan akhir Semester 1 sesi 2008/2009.
Menurutnya, bilik berkenaan disewa wanita terbabit sejak 11 Mei lalu kerana polisi UTM membenarkan orang luar menyewa bilik asrama ketika cuti semester.
Ditanya tindakan seterusnya berhubung kes itu, Sabri berkata, pihak kampus tidak dapat menangani kes berkenaan seperti kes biasa membabitkan pelajar memandangkan mangsa tidak lagi berstatus pelajar selepas ditamatkan pengajiannya.
“Bagaimanapun, kita akan berusaha membantu pihak berkenaan berhubung urusan berkaitan dengan kejadian ini,” katanya.
Berhubung dakwaan kemungkinan teman lelaki mangsa pelajar UTM, Sabri berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan perkara itu kerana buat masa ini belum ada maklumat mengenainya.
KM enggan layan rayuan isu roboh penempatan
Oleh Amin Ridzuan Ishak dan Rudy Syareme Sheriffudin
bhnews@bharian.com.my
Penduduk Kampung Buah Pala berang Guan Eng lepas tangan
GEORGETOWN: Penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor di sini, semalam, kecewa dan marah dengan keengganan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bertemu untuk menyerahkan memorandum berhubung nasib mereka selepas perkampungan itu yang akan dimajukan.
Kira-kira 60 penduduk yang berkumpul di depan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sejak jam 4 petang dengan membawa sepanduk untuk meminta kerajaan negeri campur tangan dalam isu itu, pulang hampa.
Kelibat Guan Eng tidak kelihatan dan berikutan itu, polis mengarahkan kumpulan berkenaan bersurai. Bagaimanapun, penduduk enggan bersurai selagi Ketua Menteri tidak berjumpa dengan mereka.
Berikutan itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik, meminta kumpulan berkenaan masuk auditorium dalam bangunan berkenaan jam 5 petang.
Kumpulan itu bersurai secara aman jam 7.30 malam selepas Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, berjumpa mereka.
Peguam yang mewakili penduduk terbabit, Darshan Singh Khaira, yang turut hadir bersama penduduk, menyindir kerajaan Pakatan Rakyat kerana sebelum ini berjanji untuk berjuang demi nasib penduduk.
Beliau juga memperli Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima, RSN Rayer yang sebelum ini membuat kenyataan 'langkah mayatnya dulu jika ada pihak mengambil tanah itu daripada penduduk'.
"Kami sudah menyediakan dua kubur," katanya yang kecewa kerana Guan Eng tidak mahu bersemuka dengan penduduk apabila berhadapan dengan masalah.
Darshan berkata, pemimpin Pakatan Rakyat berjumpa dengan penduduk ketika kempen pilihan raya lalu tetapi kini sebaliknya.
"Kenapa kini mereka melarikan diri, membiarkan kami. Inikah makna CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus)," katanya.
Kemarahan penduduk dengan keengganan Guan Eng berjumpa mereka turut dirasai sekumpulan penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang mahu menyerahkan memorandum berhubung isu sama, pada sebelah pagi.
Mereka berkumpul di depan Komtar sebelum dibawa ke Tingkat Lima dan menyerahkannya kepada Ng. Memorandum itu diserahkan anak pemimpin pertubuhan yang diharamkan itu, W Vmaishhannavi, 7, yang turut disertai ibunya K Shanti.
Sementara itu, Santhi melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana Guan Eng enggan bertemu mereka untuk menerima memorandum berkenaan.
"Saya kesal kerana suara penduduk tidak dipedulikan sungguhpun Pakatan Rakyat memimpin kerajaan sudah lebih 15 bulan dan Guan Eng tidak pernah melawat kampung itu," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy dalam perjumpaan dengan penduduk di kampung itu petang semalam, mengumumkan tempoh mengosongkan rumah dilanjutkan sebulan lagi.
Kampung Buah Pala yang juga dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang, membabitkan kawasan seluas 2.6 hektar, mempunyai 41 rumah dengan kira-kira 300 penduduk dan dikatakan kampung warisan tradisional kaum India.
Usaha terakhir penduduk untuk menyelamatkan perkampungan itu daripada dibangunkan gagal selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka.
Bantahan secara aman turut diadakan pengikut Hindraf di depan ibu pejabat DAP di Petaling Jaya dan pejabat DAP di Ipoh, membantah keengganan kerajaan negeri campur tangan untuk menyelesaikan masalah penduduk Kampung Buah Pala.
Isnin, 29 Jun 2009
High Chaparral
KAMPUNG Buah Pala, sebuah perkampungan penternakan lembu yang juga dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang ini sememangnya mempunyai signifikan tersendiri di kalangan penduduk Pulau Pinang.
Perkampungan flora yang terletak di atas sebuah bukit kecil di Bukit Gelugor ini didiami lebih daripada 65 keluarga sejak lima generasi atau hampir 200 tahun lalu.
Mengikut sejarah, tanah Kampung Buah Pala dipunyai keluarga Brown (sebelum merdeka), salah satu keluarga British yang kemudian menyerah tanah itu kepada kerajaan Pulau Pinang sebagai pemegang amanah.
Pada 1999, penduduk Kampung Buah Pala meminta kerajaan negeri untuk mewartakan tanah mereka sebagai tanah sebuah kampung tradisi Tamil sebagai simbol budaya nasional. Kini, sejarah High Chapparal ini akan terkubur begitu saja apabila usaha penduduk kampung ini untuk terus mempertahankan kampung mereka daripada aktiviti pembangunan akhirnya menemui penamat apabila rayuan mereka di Mahkamah Rayuan ditolak dan kekal dengan keputusan arahan untuk mengosongkan kediaman mereka sebelum 2 Julai ini.
Bagi mereka yang mengikuti perkembangan isu perkampungan ini, pastinya akan bersetuju sekiranya ada pernyataan mengatakan kerajaan Pulau Pinang lebih cenderung memilih untuk berdiam diri dalam usaha untuk menamatkan konflik ini.
Kesungguhan kerajaan negeri hanya terserlah melalui penubuhan jawatankuasa siasatan membabitkan penyelewengan dalam penukaran hak milik tanah berkenaan dan itu hanya dilakukan selepas 14 bulan Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri serta selepas selesainya pilihan raya Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri Penanti.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh (Malaysiakini, 12 Jun 2009) menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat boleh membuat kaveat terhadap tanah berkenaan. Ia secara langsung akan memberikan ruang masa yang banyak kepada semua pihak untuk mencari penyelesaian. Soalnya, mengapa kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengarahkan Pejabat Tanah untuk mengkaveatkan tanah berkenaan?
Ketua Menteri Pulau Pinang dengan kuasa eksekutifnya mengikut Seksyen 76 (a) Kanun Tanah Negara (KTN) dan Akta Pengambilan Tanah (Land Acquisition Act) boleh mengambil semula serta melindungi tanah berkenaan demi kebaikan rakyat. Mengapa tidak berbuat sedemikian?
Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-64 pada 23 Disember 2008 menetapkan bahawa amalan berikut sebagai dasar pemberi milikan tanah secara selama-lamanya (in-perpetuity) dalam keadaan khas menurut seksyen 76(aa) KTN:
l Pemberi milikan tanah kerajaan untuk tempoh pegangan selama-lamanya melalui Peruntukan-peruntukan Khas mengikut Bahagian Dua Belas, Kanun Tanah Negara 1965 Serah balik dan Berimilik Semula. Jika hak milik asal adalah pegangan selama-lamanya maka apabila hak milik itu diserahkan kepada kerajaan dan diberi milik semula kepada tuan punya tanah adalah menjadi tanggungjawab mandatori Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk memberi milik semula untuk tempoh pegangan selama-lamanya;
l Sekiranya pemberi milikan untuk pegangan selama-lama dalam keadaan khas yang tertentu adalah diperlukan, maka kerajaan negeri adalah dinasihati supaya merujuk kepada Majlis Tanah Negara untuk mendapatkan persetujuan.
Apakah kerajaan negeri sudah merujuk permasalahan ini kepada Majlis Tanah Negara dalam usaha untuk membantu mendapatkan semula tanah berkenaan? Walaupun kerajaan negeri menunjukkan perasaan kemanusiaan terhadap penduduk ini melalui jaminan akan mencarikan penempatan lain kepada mereka, namun apa erti sebuah rumah baru ber-banding sebuah sejarah berusia 200 tahun?
EDWIN MICHAEL M,
Butterworth, Pulau Pinang.
Berita Harian
janji manis syarikat insurans
SAYA ingin mengadu mengenai insurans. Lazimnya, ejen insurans sering menabur janji manis apabila menjual produk mereka. Tetapi apabila tiba masa untuk membuat tuntutan akibat kemalangan, macam-macam alasan diberikan untuk melepaskan diri daripada membayar kepada peserta.
Keadaan ini sangat mengecewakan. Syarikat tempat kerja saya ada mencarum insurans berkelompok kemalangan dengan Etiqa Insurance Berhad. Baru-baru ini, saya mengalami kemalangan dan ingin menuntut insurans saya. Tetapi malangnya alasan yang diberi pihak insurans katanya saya tidak boleh tuntut insurans dengan dua syarikat insurans.
Sedangkan insurans perlindungan Etiqa hanya RM2,000 hingga RM3,000 saja sedangkan kos rawatan yang saya keluarkan adalah RM13,000. Saya juga perlu menjalankan pembedahan susulan yang dijangkakan menelan belanja RM35,000.
Tidak wajarkah saya menuntut hak saya iaitu RM2,000 hingga RM3,000 daripada pihak Etiqa dan menfailkan saman saya pada pihak yang melanggar saya di atas segala baki kerugian saya termasuk bil hospital, kerugian kenderaan, kerugian tidak bekerja selama dua bulan dan segala kerugian yang dialami berpunca daripada kemalangan akibat kecuaian pemandu itu sendiri.
Jika saya tidak berhak untuk menuntut hak saya, kepada siapa harus saya tuntut? Adakah segala kerugian perlu ditanggung saya sendiri, sedangkan saya dilanggar dan saya mencarum insurans berkelompok?
Hal ini sememangnya bukan berlaku ke atas saya saja tetapi pada masyarakat. Namun, mereka tidak tahu pada siapa harus mengadu kerana selama ini tiada siapa yang peduli akan nasib mereka, sedangkan pihak insurans semakin kaya.
MOHAMAD IHSAN MOHAMAD ZAINUDDIN,
Kuala Lumpur.
Berita Harian
Sabtu, 27 Jun 2009
ancaman telefon murah


Ancaman baru telefon murah
Oleh AMREE AHMAD-KOSMO
Tindakan India mengharamkan jualan telefon murah buatan China dan Taiwan kerana tiada IMEI mendedahkan bahaya senyap yang tidak disedari pengguna sejak sekian lama.
JIKA anda berhasrat hendak berniaga di India, antara produk yang mungkin sesuai dijual di pasaran negara itu ialah telefon bimbit. Jangan terkejut, pengguna talian mudah alih di negara rantau Asia Selatan itu kini mencecah lebih 415 juta orang.
Angka itu baru meliputi 36 peratus daripada keseluruhan penduduknya yang berjumlah 1.2 bilion. Jirannya, Pakistan turut mencatat senario yang sama dengan memiliki 93 juta pengguna telefon selular atau 58 peratus daripada jumlah penduduk.
Tetangga miskin, Bangladesh tidak kurang hebat apabila merekodkan 46.5 juta pelanggan atau 29 peratus daripada keseluruhan penduduknya. Sekadar perbandingan, Malaysia agak jauh ketinggalan dengan cuma 20 juta pengguna.
Bagaimanapun pada minggu lalu, dunia gempar dengan tindakan drastik kerajaan India mengharamkan pengimportan telefon mudah alih dari China dan Taiwan. Alasannya ialah sebagai antara langkah keselamatan domestik.
Ini kerana telefon buatan dua buah negara itu dikesan tidak dilengkapi dengan International Mobile Equipment Identity (IMEI). Ironi, kod siri 15 digit itu sebenarnya bukan syarat standard pembuatan produk telekomunikasi.
Namun tidak ramai tahu bahawa tanpa IMEI, pengguna boleh melakukan sabotaj kerana panggilan yang dibuat gagal dikesan oleh operator telekomunikasi. Malah pihak berkuasa juga tidak dapat menjejaki rekod mesej pesanan ringkas (SMS) yang dikirim si penjenayah.
Langkah berani itu dipuji Presiden Persatuan Selular India, Pankaj Mohandroo yang sekian lama meminta pihak kerajaan berbuat demikian.
“Kami sudah letih berkempen mendesak kerajaan menyekat kemasukan telefon bimbit dari China dan Taiwan, bahkan ada bukti suspek pengganas siri serangan di Mumbai juga menggunakan produk telekomunikasi ini kerana ia tiada IMEI,” jelas beliau.
Ketiadaan siri itu yang biasanya dilekatkan di belakang telefon bimbit turut mendedahkan pengguna kepada risiko jika berlaku kecurian. Data di dalam telefon juga boleh dieksploitasi penjenayah untuk memintas dengar perbualan.
Hakikat yang tidak disedari ramai ialah telefon tanpa IMEI sebenarnya banyak terdapat di pasaran. Ia menerima permintaan tinggi kerana berharga murah. Di India, telefon sedemikian dijual dari serendah RM60 sehingga RM120 sebuah.
Kelebihan IMEI
Di Malaysia, telefon jenis ini lazim dikenali sebagai AP iaitu rujukan kepada telefon selular bukan tulen yang dipasang dalam negara. Ia tiada jaminan jika rosak dan berbeza dengan produk asli biasanya disebut sebagai Zitron atau Avax.
Sehingga kini, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu IMEI. Singapura yang terkenal dengan undang-undang ketat juga belum mewajibkan IMEI.
Tidak hairanlah republik itu menghadapi lambakan telefon bimbit tanpa IMEI yang dijual murah. Ada secara sinis berkata, ketiadaan IMEI membolehkan suspek militan berbahaya, Mas Selamat Kastari gagal dikesan sebelum dia meloloskan diri ke Johor.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) setakat ini tidak memberi apa-apa ulasan berkenaan tindakan keras India itu. Malaysia cuma mewajibkan pendaftaran untuk pengguna baru sama ada pakej prabayar atau pascabayar.
Situasi sebegini bakal mendedahkan negara kepada risiko pemalsuan data pengguna kerana rekod pendaftaran boleh diubah suai. Bahkan peraturan mengenai IMEI tidak dinyatakan secara terang termasuk menerusi laman web SKMM sendiri.
Ini bermakna pemasangan kod IMEI adalah tertakluk kepada budi bicara pengeluar telefon bimbit. Mungkin ada berpendapat, IMEI mengganggu hak asasi individu kerana pergerakan dan data peribadi pengguna dapat dikesan oleh pihak berkuasa.
Ia ada kebenaran tetapi perkembangan semasa membuktikan IMEI lebih banyak kebaikan daripada keburukan terutama aspek keselamatan. Di Eropah, mangsa culik atau sesat di hutan mudah dijejaki dengan bantuan IMEI dari telefon bimbit.
Bayangkan walaupun bateri telefon itu sudah habis, pihak berkuasa dapat mencari mereka kerana frekuensi IMEI dipancar melalui isyarat bateri kecemasan. Jika dicuri, telefon tersebut masih boleh dikesan waima ditukar kad sim pemilik.
Jumaat, 26 Jun 2009
periksa tayar kereta anda
KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan persendirian diberi tempoh dua minggu untuk memeriksa tayar kenderaan mereka bagi mengelak dikenakan denda sepanjang Kempen Keselamatan Tayar oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bermula semalam.
Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh, berkata kempen itu adalah usaha mendidik pemilik kenderaan terutama kereta dan kenderaan pacuan empat roda memastikan kenderaan mereka berada dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.
Lima jenis kesalahan tayar yang boleh dikenakan kompaun sepanjang kempen itu ialah tayar retak, menggelembung, merekah, tekanan angin kurang atau bunga tayar haus.
“Kempen ini bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dengan meminta pemilik kenderaan sentiasa memastikan tayar berada dalam keadaan selamat termasuk hanya menggunakan satu jenama tayar pada satu-satu masa.
“Kita hanya memerlukan satu atau dua minit untuk memeriksa tayar kenderaan setiap hari sebelum memulakan perjalanan supaya keselamatan lebih terjamin,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Buat masa sekarang Kempen Keselamatan Tayar hanya memberi tumpuan kepada kenderaan persendirian saja bagi tempoh lapan minggu bermula semalam, disusuli motosikal selepas itu.
Sementara itu, Penolong Pegawai Penguat Kuasa JPJ Wilayah Persekutuan, Syed Abdullah Syed Hussain, berkata pemilik kenderaan yang didapati bersalah kerana tayar kenderaan boleh dikenakan denda maksimum RM300.
“Jika pemilik masih gagal membaiki kesalahan pada kenderaan, ia dianggap kes mahkamah dan denda yang akan ditetapkan oleh mahkamah yang berkemungkinan lebih tinggi,” katanya.
Sehubungan itu, pemilik kenderaan diingatkan supaya tidak lagi menggunakan tayar yang sudah dibeli dalam tempoh tiga hingga lima tahun walaupun ia tidak digunakan kerana tayar berkenaan tidak selamat.
Ahad, 21 Jun 2009
motor pancit
Penunggang motosikal yang menggunakan kemudahan lorong khas motosikal sekitar Lembah Klang, ramai terpaksa menghadapi risiko tayar pancit sekali dalam sebulan, malah ada yang lebih malang seminggu sekali. Ini sekali gus membebankan urusan harian, termasuk ke pejabat akibat tayar motor pancit kerana terkena objek tajam di permukaan jalan.
Kejadian sebegini sudah menjadi lumrah mereka dan acap kali diperkatakan. Namun, masih belum menunjukkan tanda-tanda usaha pihak berwajib untuk memulihkan keadaan. Sama ada pihak pengendali lebuh raya lepas tangan atau pihak berkuasa yang tidak mengambil endah, yang terus menjadi mangsa ialah pengguna laluan sikal.
Sebagai pengguna, mereka terpaksa menghayati rencam kehidupan ini sebagai rutin biasa. Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan ketika pengguna yang tidak mempunyai kuasa bersuara.
Wartawan Sinar Harian CONNIE S MONICAL dan SITI FATIMAH MUHAMMAD ALI serta jurugambar MOHD SAMSUL SAID cuba merungkaikan permasalahan pengguna yang semakin tertekan angkara keadaan ekonomi yang meleset dan keperluan membaiki segera tayar motor yang pancit untuk meneruskan perjalanan ke tempat kerja.
Tinjauan Sinar Harian di sepanjang lorong khas motosikal Lebuh raya Persekutuan minggu lalu, mendapati sekurang-kurangnya empat hingga lima motosikal mengalami masalah tayar pancit ketika waktu puncak (7 - 9 pagi).
Sepanjang tinjauan yang dilakukan, kami menemui pelbagai jenis paku dan objek yang mampu menembusi tiub tayar motosikal di kawasan yang agak tersembunyi, terutama di terowong-terowong khas.
Difahamkan, perbuatan ini sengaja dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan mencari pendapatan walaupun menyedari perbuatan itu tidak bermoral.
Sikap segelintir mereka ini menyebabkan beberapa yang lain terpalit cemuhan masyarakat walaupun pada asasnya langsung tidak terlibat dengan tindakan itu.
Suara-suara halus yang berbunyi “Siapa lagi yang hendak menabur paku di jalan kalau bukan tukang tayar” adalah ungkapan biasa bagi mereka.
Ada antara ‘mekanik jalanan’ yang mengenakan bayaran yang tinggi apabila kejadian tayar pancint berlaku waktu malam dan mereka dihubungi menerusi nombor yang ditinggalkan pada terowong bagi membantu menyelesaikan masalah tayar pancit.
‘Mekanik jalanan’ selalunya mengenakan bayaran berlipat kali ganda berbanding harga tidak sibuk. Bayaran yang dikenakan sehingga boleh mencecah RM60 bagi satu tiub walaupun harga pasaran hanya RM10.
Pengguna yang biasanya dalam keadaan ‘terpaksa’ akur tanpa berfikir panjang dan membayarnya.
Ada antara mereka menjadi ‘hero’ menawarkan memberikan bantuan walhal sebelum itu merekalah dalangnya, bijak mengatur strategi memancit tiub secara kebetulan.
Mereka mengambil kesempatan menawarkan khidmat dengan memaparkan nombor telefon untuk dihubungi di tepi-tepi jalan, di kawasan rehat, tiang lampu, kawasan terowong termasuk kawasan yang mudah dilihat penunggang ketika dilanda masalah.
Niat suci yang dipaparkan cukup menggambarkan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum ini suka membantu tanpa mengira masa di samping menjana kewangan. Namun itu bagi yang jujur. Bagi yang berniat sebaliknya, biarlah Tuhan saja yang memberi balasan terhadap segala tindak tanduk mereka selama ini.
Jika sebaliknya, saranan kepada pihak bertanggung jawab, terutamanya pengendali lorong khas itu perlulah memberikan lebih tumpuan kepada laluan utama motosikal kerana kemalangan boleh berlaku jika tayar motosikal yang ditunggang pecah tiba-tiba.
Kecelakaan berlaku tanpa diundang, berilah perhatian kepada mereka yang teraniaya. Dan kepada yang sengaja menjebak orang lain berada dalam kesusahan, bertaubatlah. Tuhan melihat setiap yang anda lakukan dan ingatlah hasil daripada kegiatan tidak baik itu tidak membawa berkat untuk seisi keluarga.
Jumaat, 19 Jun 2009
sambung rumah halang laluan
KAJANG: Sikap pentingkan diri seorang penghuni Pangsapuri Vista Perdana di sini, yang menyambung rumahnya di tingkat bawah pangsapuri itu menjadi seperti rumah teres mengakibatkan penghuni lain tidak berpuas hati.
Tinjauan Harian Metro ke pangsapuri berkenaan, mendapati penghuni rumah berkenaan menyambung bahagian hadapan rumahnya hingga menghalang laluan untuk pejalan kaki di sepanjang koridor.
Seorang penghuni yang hanya dikenali sebagai Amin, berkata tindakan penghuni berkenaan yang menyambung rumahnya menyebabkan seorang penghuni yang tinggal berhampiran rumahnya terpaksa berpindah.
“Dinding batu yang dibina di hadapan rumahnya menghalang angin daripada memasuki rumah berhampirannya menyebabkan seorang penghuni berasa tidak selesa dan terpaksa berpindah.
“Dinding batu berkenaan juga menghalang koridor yang sepatutnya menjadi laluan pejalan kaki menyebabkan kami terpaksa melalui jalan lain untuk pulang ke rumah,” katanya.
Menurutnya, penghuni pangsapuri berkenaan juga mencantas pokok yang ditanam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di hadapan rumahnya menyebabkan penghuni lain bimbang untuk meletakkan kenderaan di situ.
“Kami khuatir untuk meletakkan kereta di parkir kenderaan di hadapan rumahnya berikutan bimbang dihempap pokok berkenaan.
“Selain itu, tindakan menyambung rumahnya turut menutup kawasan longkang menyebabkan longkang berkenaan tersumbat dan menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya.
Sementara itu Ketua Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Shariman Mohd Noor, berkata penghuni pangsapuri tidak boleh mengubah suai atau menambah struktur bangunan tanpa kebenaran.
“Penghuni pangsapuri berkenaan boleh dikenakan tindakan kerana menambah struktur bangunan hingga menghalang kawasan koridor yang juga harta awam.
“Pihak kami akan mengambil tindakan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Seksyen 70 (12) kerana menjalankan pembinaan tanpa kebenaran MPKj dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM25,000,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pihaknya juga akan mengarahkan penghuni berkenaan meruntuhkan struktur bangunan yang ditambah secepat mungkin.
kocik tak nak mampos,dah bosa menyusahkan orang..

‘Ninja’ cetus kebakaran
Oleh Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my
TASEK GELUGOR: “Saya lihat dua penghuni menutup muka mereka ala ninja dengan tuala sambil membawa tong dipercayai berisi minyak sambil memegang pemetik api berada dalam pagar sebaik saja tiba di luar Pusat Serenti.
“Saya juga nampak mereka memandu sebuah traktor dalam kawasan itu menuju belakang bangunan sebelum melihat kebakaran berlaku dengan pantas,” kata Ali Osman, 58, saksi kejadian Pusat Serenti Kampung Selamat di sini terbakar, malam tadi.
Ali yang juga pesara tentera dan tinggal di kampung itu sejak lebih 15 tahun lalu, berkata kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 6 petang apabila beberapa penduduk kampung memberitahunya berlaku kekecohan di pusat serenti berkenaan.
Katanya, keadaan dalam pusat ketika itu agak kecoh dan tegang dengan beberapa buah bangunan terbakar manakala beberapa petugas kakitangan dan warden cuba menyelamatkan diri dengan keluar dari pusat berkenaan.
Tinjauan Harian Metro mendapati, terdapat kira-kira lima blok bangunan terbakar menyebabkan beberapa laluan menuju Pusat Serenti yang menempatkan kira-kira 500 pelatih ditutup manakala lebih 10 jentera bomba tiba untuk memadamkan kebakaran.
Bagaimanapun, kira-kira jam 9 malam beberapa trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) tiba dengan berkawal di luar Pusat Serenti yang penuh sesak orang ramai yang mahu melihat kejadian berkenaan.
Sebuah traktor pembajak sawah yang digunakan untuk tujuan pertanian dalam pusat berkenaan turut terbakar dipercayai dilakukan perusuh terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub, berkata polis menerima maklumat kejadian itu kira-kira jam 6.40 petang dan sebaik tiba mendapati lima blok bangunan dalam pusat itu sudah terbakar.
Beliau berkata, perusuh bertindak agresif menggunakan kayu dan besi menghalang anggota bomba serta polis memasuki kawasan berkenaan.
“Namun, selepas mengadakan beberapa rundingan, anggota bomba dibenarkan memasuki kawasan dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 9 malam.
“Polis menubuhkan pasukan untuk mengadakan rundingan dengan perusuh terbabit yang dianggarkan 100 orang kira-kira jam 10 malam,” katanya.
tertangguh majlis....
jo:"balik kerja nanti singgah rumah, ada masalah sikit"
bro:"ok, lepas isyak aku datang"
lepas isyak pergi ke rumah jo,
jo:"orang majelis leceh betul,dulu hendak salinan surat perjanjian rumah tiga orang aje,sekarang hendak semua ajk pulak..dah tukaq bos baru tu yg dia buat macam2"
bro:"eh..eh..eh...orang majelis ni, saja2 nak melambatkan majlis,hari itu lobai cakap sijil jmb dah siap!lobai pun cakap tak betul.."
jo:"mana ada siap!bos baru tak approve lagi!nak buat macam mana,ikutlah cakap depa,silap2 nanti pemaju kena saman karang"
bro:"bulan lapan ni,jmb semua dah setel,semua pemaju kat selangor ni kena tubuh jmb kalau tidak kena saman"
jo:"itulah..kalau boleh cepat kasi salinan surat perjanjian rumah tu..supaya kita cepat dapat sijil jmb"
Rabu, 17 Jun 2009
unit khas bantu tubuh jmb
RAWANG 17 Jun - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menubuhkan satu unit khas bagi menangani masalah yang mengekang penubuhan badan pengurusan bersama (JMB) di penempatan bertingkat dalam kawasan pentadbirannya.
Yang Dipertuanya, Datuk Zainal Abidin Azim berkata, unit berkenaan akan memberi tumpuan kepada skim-skim pembangunan baru walaupun masalah penubuhan JMB itu sering berlaku di skim-skim perumahan lama.
"Isu penubuhan JMB memang satu masalah utama di skim perumahan lama, justeru, unit khas itu diwujudkan sebagai langkah awal supaya masalah itu tidak berlaku pula di skim-skim baru," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pelaksanaan Sistem Pematuhan dan Perakuan Siap (CCC) dan Penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Hartanah Strata MPS di sini semalam.
Menurut Zainal Abidin, tujuan utama unit berkenaan adalah untuk memastikan semua skim pemajuan dapat menubuhkan JMB serta memastikan pertikaian mengenai pengurusan bangunan dapat diselesaikan.
"Ia juga bagi memastikan mekanisme penyerahan pengurusan bangunan berjalan dengan lancar daripada pemaju kepada JMB dan seterusnya kepada perbadanan pengurusan (MC)," ujarnya.
Katanya, setakat ini, sebanyak 181 perumahan bertingkat jenis apartmen telah dikenal pasti di bawah kawasan pentadbiran MPS yang perlu menubuhkan JMB.
Daripada jumlah tersebut, katanya, sebanyak 59 perumahan telah mendapat sijil JMB.
majolis membisu

laman tempat permainan tu telah berbulan dibersihkan..sampai sekarang tak mula2 lagi projek taman permainan tu...hai majolis kenapa membisu???
pada satu majlis YB bersama rakyat (sebelum PRU 12)datuk Hoh memberitahu penduduk beliau akan upgredkan taman permainan itu (taman permainan itu macam ketinggalan zaman tidak seiring dengan selangor negeri maju)
hasrat datuk hoh tak terlaksana kerana dia tewas...
nak harap kat YB yap (DAP)pulak selepas ni..dapek ke dio menolong...!

telefon bimbit serendah RM78
Oleh Wan Jailani Razak
wanjai@bharian.com.my
Keluaran syarikat CSL mula dipasar Julai
PETALING JAYA: Pengeluar telefon bimbit tempatan, Kumpulan Syarikat CSL (CSL) akan memperkenalkan telefon bimbit dengan harga serendah RM78 seunit bulan depan untuk menguasai pasaran dalam negara dan yakin dapat menjual kira-kira 20,000 unit sebulan.
Dengan harga serendah itu, syarikat berkenaan yakin dapat meningkatkan jumlah jualan kepada 300,000 unit menjelang akhir tahun ini.
Pengurus Besar CSL, Edwin Gan, berkata CSL menjual lebih 300,000 unit telefon bimbit membabitkan 47 model di antara November 2007 hingga Mei lalu.
"Ini tidak termasuk tujuh model baru yang dilancarkan malam ini iaitu M28, M52i, DS28i, DS88i, SP10i, K500i dan Blueberry-i," katanya pada `CSL Star Dealers' Night 2009' di sini, malam kelmarin .
Produk baru telefon bimbit itu diperkenalkan oleh barisan finalis Miss Pageant 2009.
Sempena pelancaran itu juga, CSL memperkenalkan dua produk baru multimedia iaitu N1000 netbook dan model baru 3.5G HSDPA USB modem - U1-TF Blossom.
Edwin berkata, ketika ini, CSL mempunyai 120 kiosk jualan di seluruh negara dan jumlah itu dijangka bertambah 50 lagi menjelang akhir tahun ini.
Bagi separuh penggal kedua tahun ini, katanya syarikat itu bercadang melabur RM1.5 juta untuk mengukuhkan jenama produk CSL, RM1 juta untuk meningkatkan kemudahan di pusat servis dan RM1 juta lagi untuk pembangunan perisian dan kandungan digital.
Katanya, CSL juga mempunyai 18 pusat servis bagi memberi perkhidmatan selepas jualan kepada pengguna.
"Dengan kekuatan 150 kakitangan teknikal, kami merancang memberi perkhidmatan lebih baik kepada pengguna.
"Berikutan itu, kami akan membuka lebih banyak pusat kutipan dengan menggunakan premis pengedar utama yang letaknya di seluruh negara sebelum akhir tahun ini," katanya.
Sehingga kini, produk yang dihasilkan CSL dikenali sebagai barangan buatan Malaysia dan sebagai pengeluar telefon bimbit tempatan, syarikat itu yakin rakyat negara ini akan menyokong usaha CSL.
Selasa, 16 Jun 2009
operasi kunci dewan/tabika di selangor
PELABUHAN KLANG: Kecoh dan hampir mencetuskan pergaduhan apabila jawatankuasa penduduk sebuah kawasan perumahan di sini, bertindak mengunci pintu Taman Didikan Kanak-kanak (tabika) menggunakan rantai besi, semalam.
Tindakan Jawatankuasa Komuniti Blok 1 Flet Seri Perantau itu kerana tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan tabika berkenaan yang didakwa gagal melangsaikan tunggakan sewa sejak lima bulan lalu berjumlah RM2,500.
Jawatankuasa berkenaan bertindak mengunci pintu tabika berkenaan bermula jam 11 malam kelmarin bertujuan menghalang kanak-kanak memasuki tabika itu awal pagi semalam.
Berikutan itu, seramai 43 kanak-kanak yang datang jam 7.30 pagi untuk memulakan persekolahan selepas cuti dua minggu, terpaksa ditempatkan di khemah sementara yang dibina menggunakan kanvas.
Marah dan tidak puas hati dengan perbuatan jawatankuasa komuniti itu, kira-kira 40 penghuni flet itu berkumpul dan mendesak supaya tabika berkenaan dibuka semula dan tindakan itu hampir menimbulkan pergaduhan dengan wakil jawatankuasa komuniti blok berkenaan.
Namun, ketegangan itu berakhir apabila wakil jawatankuasa komuniti blok itu bersetuju membuka semula tabika berkenaan kira-kira pukul 11 pagi selepas berunding dengan Jawatankuasa Tabika Kemas itu.
Pengerusi Jawatankuasa tabika berkenaan, Che Li Abdul Hamid, 49, berkata tindakan Jawatankuasa Komuniti blok itu tidak bertanggungjawab kerana seolah-olah cuba menghalang kanak-kanak mendapat pendidikan.
Katanya, tabika itu tidak pernah menerima sebarang arahan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau Majlis Perbandaran Klang (MPK) berhubung pembayaran sewa sejak ia diwujudkan dua tahun lalu.
"Kita sudah memohon supaya tabika diwujudkan di blok ini tetapi dengan syarat kita sediakan tempat untuk beroperasi.
"PKNS dan MPK meluluskan tempat bawah blok ini untuk dijadikan tabika tanpa sebarang bayaran sewa manakala peruntukannya diperoleh terus daripada Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat)," katanya.
Che Li berkata, pihaknya tidak faham mengapa jawatankuasa komuniti menuduh Kemas menceroboh dan perlu membayar sewa RM500 sebulan sedangkan tabika itu hak bersama penghuni flet itu.
Guru tabika, Norbaini Suparman, 42, berkata tabika itu bukan hanya dikhaskan kepada kanak-kanak di Blok I, sebaliknya dibuka kepada semua kanak-kanak di seluruh Flet Seri Perantau.
Ahad, 14 Jun 2009
ADUAN PENDUDUK
KAJANG – Aduan yang diterima Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) daripada penduduk di taman perumahan bawah pentadbiran mereka secara purata mencecah sehingga 300 aduan seminggu.
Yang Dipertua MPKj, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman berkata, hampir 1,200 aduan diterima itu merangkumi pelbagai permasalahan dihadapi penduduk dan sebanyak 85 peratus daripadanya mampu diselesaikan MPKj.
Menurutnya, setiap aduan diterima daripada pelbagai mekanisme iaitu secara emel, surat, panggilan telefon dan pelbagai lagi malah bagi mereka juga boleh membuat aduan melalui sistem talian aduan rakyat Selangor (Stars).
“Bagi aduan yang tidak melibatkan kos, ia boleh diselesaikan dalam tempoh singkat antara dua hingga tiga hari tetapi jika ia melibatkan sebut harga tempoh untuk tindakan susulan akan memakan masa berikutan perlu melalui pelbagai proses,” katanya kepada Sinar Harian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Aduan MPKj di sini, baru-baru ini.
Hasan berkata, antara aduan yang sering diajukan adalah berkaitan masalah persekitaran seperti sampah tidak dikutip, longkang tersumbat, anjing liar dan pelbagai lagi masalah yang telah menghantui penduduk sekitar.
Pada mesyuarat itu, Ahli Majlis MPKj, Steven Chan Jeong Hon turut membangkitkan bahawa adakah setiap aduan dilaporkan perlu dipantau pegawai bertugas berikutan tiada tindakan susulan diambil.
“Apabila sesuatu aduan tidak diselesaikan, penduduk akan memanjangkan perkara itu kepada Ahli Majlis dan sering ingin mendapatkan jawapan bila ia akan diselesaikan,” katanya.
Seorang lagi Ahli Majlis, Ong Seng Peng berkata, ada antara kakitangan tidak memberi kerjasama dan hanya melaksanakan tugas sendiri sahaja.
Seng Peng berkata, kadangkala ada antara penguat kuasa yang memantau kenderaan tidak memaparkan tiket parkir dan kebetulan terdapat tutup longkang yang rosak tetapi mereka tetap tidak melaporkan kepada Ahli Majlis.
Bagi Ahli Majlis, P Narayanan pula berkata, sistem memantau perlu dilaksanakan setiap pegawai bertugas dan penguat kuasa bagi memastikan tindakan terhadap aduan yang dibuat dilaksanakan.
“Setiap aduan yang diterima daripada penduduk perlu mendapat pemerhatian MPKj dan sama ada tindakan telah diambil atau sebaliknya pemantauan perlu dibuat supaya kita dapat memastikan diselesaikan,” katanya.
Khamis, 11 Jun 2009
dewan komuniti..pbt punyo hak...
TAMAN MUDA – Badan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Ampang Jaya dan Ahli Parlimen Pandan membantah keputusan kerajaan negeri mengambil alih premis dan dewan orang ramai menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.
Ahli Parlimen Pandan, Datuk Ong Tee Keat berkata, tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mahu mengambil semula dewan di sekitar Ampang dan Pandan yang telah diusahakan oleh golongan NGO ini tidak wajar sama sekali.
Menurutnya, dewan orang ramai ini diuruskan oleh sukarelawan dan pertubuhan NGO berdaftar tanpa menggunakan sebarang peruntukan atau dana pihak kerajaan, malah badan itu mengeluarkan modal sendiri untuk membaik pulih, menjaga dan menjadikan dewan sebagai tempat aktiviti komuniti.
“Tindakan kerajaan negeri ini membangkitkan kemarahan rakyat yang bertungkus lumus mengusahakan dan membina dewan yang ada sekitar Ampang ini termasuklah balai pusat khidmat ini.
“Pihak MPAJ sebelum ini tidak pernah ambil tahu mengenai apa yang kami semua usahakan dalam komuniti dan keputusan tersebut tidak adil untuk rakyat yang telah menyumbang tenaga membangunkan dewan serta premis NGO,” katanya pada sidang akhbar di pusat khidmat itu.
apo dah jadi masojid kek selango nih...
SAYA juga amat tertarik dengan tulisan Shah De Bunt dari Masjid Al-Hisam TTDI Jaya, di ruangan ini pada 2 Jun 2009 dan kagum dengan keberanian Tok Demang, Subang Perdana, mendedahkan kegagalan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memantau masjid-masjid di seluruh Selangor.
Kami dari Masjid Jamek Batu 14, Puchong, Selangor, telah menerima nasib yang lebih buruk lagi iaitu ada tangan-tangan ghaib yang telah mempengaruhi JAIS untuk mengubah keputusan mesyuarat agung untuk Mesyuarat Pencalonan Pegawai dan Jawatankuasa Masjid Kariah Batu 14, Puchong pada 25 Januari 2009 yang lalu.
Dalam mesyuarat tersebut ahli kariah yang hadir dalam mesyuarat tersebut telah bersetuju mencalonkan nama-nama ahli kariah yang hadir dan yang layak untuk mentadbir masjid ini mulai 1 Jun 2009 kelak setelah tempoh perkhidmatan AJK Masjid yang lama tamat pada 31 Mei 2009 ini.
Nazir masjid telah pun mengemukakan nama-nama calon yang telah diputuskan dalam mesyuarat tersebut kepada JAIS seterusnya untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula, malangnya pada 24 Mei 2009 yang lalu setelah mendapat kelulusan dari MAIS, JAIS telah mengeluarkan senarai pegawai dan AJK Masjid Jamek Batu 14, Puchong yang baru dengan meminda beberapa jawatan di dalam senarai tersebut.
Pihak kami berasa kesal dan kecewa dengan sikap JAIS yang telah meminda beberapa jawatan penting di masjid ini. Jawatan yang dipinda daripada senarai asal ialah jawatan nazir, setiausaha dan bendahari.
Nama calon untuk jawatan bendahari yang telah dicalonkan oleh ahli kariah telah dimansuhkan dan sewenang-wenangnya digantikan oleh JAIS dengan calon yang lain.
Pihak kami berasa hairan bagaimana JAIS boleh menyenaraikan nama orang yang tidak hadir dalam mesyuarat dan tidak mendaftar sebagai ahli kariah boleh disenaraikan untuk menjawat jawatan bendahari sedangkan orang yang dicalonkan oleh anak kariah telah diketepikan.
Ini tentu ada tangan-tangan ghaib yang telah mempengaruhi JAIS untuk mengubah senarai asal. Kalau tak ada tangan-tangan ghaib ini yang mempengaruhi maka sudah tentu JAIS akan bersetuju untuk memilih nama AJK yang telah kami senaraikan itu.
Sebagai satu jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dan berwibawa sepatutnya JAIS tidak melayan tangan-tangan ghaib ini untuk kepentingan mereka sendiri.
Pihak kami berasa kesal dan kecewa kerana JAIS kebelakangan ini tidak peka dan gagal untuk menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh pihak masjid. Pihak kami percaya bahawa dengan adanya pegawai-pegawai di JAIS yang tidak jujur dan menyebelahi kepada satu pihak lain maka ada kemungkinan pihak JAIS sendiri yang akan memecah belahkan keharmonian masjid-masjid di seluruh negeri Selangor.
Saya difahamkan bahawa ramai AJK lama yang telah dicalonkan semula akan meletakkan jawatan masing-masing kerana tidak setuju dengan tindakan JAIS yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang telah dibuatnya sendiri.
Pihak kami berharap supaya Exco yang bertanggungjawab, Datuk Dr. Hassan Ali akan dapat memantau JAIS kerana di JAIS sendiri telah wujud orang yang curang dan tidak bertanggungjawab.
ANAK KARIAH BERDAFTAR
Puchong, Selangor
sumber:UM
kenapo ahli kariah lain jd ajk masjid,surau ni...
MERUJUK kepada surat Ahli Veteran 1979, adalah diberitahu kepada beliau dan semua pembaca bahawa permasalahan yang dibangkitkannya turut melanda semua masjid dan surau seluruh negeri Selangor.
Bukan setakat arahan mengadakan Mesyuarat Agung Khas Pencalonan sahaja dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) malah syarat mendaftar sebagai ahli kariah juga telah ditetapkan untuk menjadi ahli jawatankuasa (AJK) masjid atau surau.
Ahli kariah bermaksud seseorang yang bermastautin di dalam kariah sesebuah masjid atau surau itu tanpa mengira asal usulnya. Ini untuk mengelakkan seseorang yang bermastautin di Shah Alam menjadi AJK masjid di Batang Kali contohnya.
Senarai ahli kariah ini ada ditampal di papan kenyataan masjid dan jangan terperanjat jikalau senarai baru AJK masjid atau surau yang dikeluarkan oleh JAIS ini terdapat AJK yang namanya tiada di dalam senarai ahli kariah.
Malah yang lebih menjengkelkan ialah terdapat AJK yang bukan ahli kariah dan tidak pernah kelihatan kelibatnya di sesuatu masjid atau surau telah dilantik.
Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor secara terang-terangan telah menipu dan memperbodohkan rakyat dengan arahan mengadakan mesyuarat agung khas pencalonan AJK masjid dan surau, pada hal mereka sebenarnya tidak akan menerima keputusan mesyuarat itu jikalau AJK yang dilantik bukannya orang yang mereka kehendaki.
Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor tentu sekali telah bersekongkol dengan parti politik cawangan sesuatu kariah bagi menentukan orang yang mereka kehendaki menjadi AJK masjid atau surau. Hal sebegini tidak pernah terjadi sebelum ini.
Seseorang perlu membuat laporan polis. Orang yang bertanggungjawab mengubah dan memalsukan keputusan mesyuarat hendaklah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
AHMAD ALBAB
Puchong, Selangor
sumber:UM
saman tok... jangan tak saman

‘Hanya pakai takut disaman’
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
TAHAN...Hambazi (tengah) menahan seorang penunggang motosikal
yang tidak memakai topi keledar dalam operasi
di Puchong, semalam.
PUCHONG: Degil! Sikap pengguna motosikal yang enggan memakai topi keledar menyebabkan polis mengambil tindakan tegas dengan mengadakan operasi lebih kerap terutama di kawasan perumahan.
Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Superintendan Hambazi Abdul Rahman, berkata sepanjang operasi itu dijalankan sejak 21 April lalu pihaknya sudah mengeluarkan 2,400 saman di atas kesalahan terbabit.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 2,107 saman dikeluarkan ke atas penunggang motosikal dan selebihnya kepada pembonceng.
“Apa yang menghairankan kebanyakan mereka membawa topi keledar tetapi hanya kelam-kabut memakainya ketika ditahan polis,” katanya yang kesal tindakan mereka itu semata-mata kerana takut disaman bukan memikirkan keselamatan nyawa.Menurut Hambazi operasi ini akan diteruskan terutama di kawasan perumahan kerana mendapati pengguna motosikal di kawasan itu memandang mudah pemakaian topi keledar dengan alasan hanya ke lokasi berhampiran.
“Walaupun ingin ke kedai yang terletak satu kilometer, orang ramai harus faham yang malang tidak berbau.
“Jika terbabit dengan kemalangan, pemakaian topi keledar itu mampu menyelamatkan nyawa mereka,” katanya ditemui ketika Ops Degil di Puchong Perdana, di sini, semalam.
Dalam operasi tiga jam bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari itu, sebanyak 51 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal kerana kesalahan terbabit.
Rabu, 10 Jun 2009
sistem kad..bayar sewa tapak bulanan

‘Sistem Kad’ permudah pembayaran sewa tapak bulanan
KAJANG – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kini menggunakan ‘Sistem Kad’ di kebanyakan lokasi pasar malam sekitar kawasan pentadbirannya untuk kemudahan pembayaran sewa tapak bulanan.
Yang Dipertuanya, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman berkata, penjaja kini boleh terus membayar sewa tapak mereka kepada MPKj dan tidak lagi perlu membayar kepada penganjur dengan pengenalan sistem itu.
Menurutnya, penjaja di pasar pagi secara keseluruhannya menggunakannya manakala bagi penjaja pasar malam pula lebih daripada 50 peratus mulai mempraktikkan sistem itu.
“Penjaja hanya perlu membayar duit sewa tapak sebanyak RM2 bagi setiap petak kepada MPKj manakala duit kutipan sampah pula masih tetap dibayar kepada penganjur,” katanya kepada Sinar Harian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Aduan MPKj di Menara MPKj, semalam.
Hasan berkata, terdapat 14 lokasi pasar pagi dan 50 lokasi pasar malam di bawah pentadbiran MPKj dan sebelum ini penjaja pasar malam perlu membayar duit sewa tapak kepada penganjur terlebih dulu.
Beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai kad sewa tapak itu boleh terus hadir ke MPKj untuk melaksanakan pembayaran tapak sama ada untuk pasar pagi atau pasar malam dan ia akan lebih mudah.
“Maka, penjaja yang telah mempunyai kad sewa tapak mereka tidak lagi perlu membayar duit sewa itu kepada penganjur dan boleh membayar secara terus kepada MPKj dan kini hanya kutipan duit sampah akan dilakukan penganjur,” katanya.
macam2 masalah penduduk
Ahli Jawatankuasa (AJK), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), Bakri Hussien berkata, jika dahulu jarak kediaman mereka dengan Sungai Langat kira-kira 20 meter daripada sungai itu tetapi kini jaraknya kurang 10 meter akibat hakisan yang berlaku.
“Setiap kali hujan lebat pasti air sungai naik sehingga memasuki rumah di tingkat bawah ini, hal ini membebankan penduduk kerana terpaksa menanggung risiko ini,
“Tebing sungai ini semakin lembut dan mudah terhakis malah kami amat bimbang kerana ianya semakin menghampiri kawasan kediaman kami,” katanya ketika ditemui di sini.
Menurutnya, pihak berwajib telah pun datang melihat lokasi kejadian ini namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.
"Seharusnya tebing sungai ini dipasang pagar pengadang atau di tambak kerana jaraknya terlalu hampir dengan kawasan kediaman.
"Tambahan pula berhampiran dengan sungai ini adalah kawasan lapang yang menjadi tempat permainan kanak-kanak pada waktu petang, sudah pasti sebarang kemungkinan buruk bakal terjadi," katanya.
Selain itu katanya, masalah anjing liar juga membebankan penduduk di sini kerana telah ramai penduduk yang menjadi mangsa dan mengalami kecederaan akibat anjing liar ini.
Sementara itu, Mohd Farid Amran yang telah menetap 15 tahun di sini berkata, masalah anjing liar ini turut merunsingkan penduduk kerana ianya melibatkan keselamatan dan nyawa mereka.
“Hal ini sudah kerap kali dilaporkan kepada pelbagai pihak, namun kehadiran haiwan ini masih berleluasa di kawasan taman kami,
“ Sehinggakan kanak- kanak di sini tiada tempat untuk bermain kerana kawasan permainan mereka dikuasai haiwan ini,” katanya.
Farid berkata, beliau tidak menafikan bahawa ada pihak berkuasa yang datang untuk menangkap anjing ini, namun kehadiran mereka dilihat seperti tiada hasil atau perubahan yang dilakukan," katanya.
Sinar Harian pada edisi 3 Januari lalu ada menyiarkan tentang Fatimah Ali Zaman Khan, salah seorang penduduk di sini menjadi mangsa anjing liar ketika pulang mengambil anaknya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa anjing liar di kawasan perumahan berhampiran menemui ajal setelah koma 13 hari akibat diserang anjing liar ini.
Di samping itu, penduduk di sini juga bimbang apabila pemilik rumah teres di sini menjadikan kediaman mereka sebagai kedai runcit dan menjual minuman keras sewenang-wenangnya.
Dalam pada itu, Kamarul Arifin Zainuddin berkata, tindakan pemilik rumah menjadikan kedai runcit tidak sepatutnya berlaku tambahan pula mereka menjual minuman keras secara terbuka.
“Kawasan ini mempunyai remaja dan kanak-kanak yang ramai dan hal ini memberikan satu perspektif yang tidak baik kepada mereka,
“ Saya berharap benar hal ini dipandang serius kerana sebagai penduduk kami ada hak dengan apa yang berlaku di kawasan kami," katanya.
Rata-rata penduduk di sini bukannya mahu menuding jari kepada pihak berkuasa atau wakil rakyat di sini tetapi apa yang mereka harapkan adalah jalan penyelesaian bagi setiap permasalahan yang berlaku di sini.
Mereka juga berharap kerjasama daripada semua pihak agar masalah ini dapat di selesaikan dan penduduk di sini dapat hidup dalam keadaan aman dan tenteram.
MANA BOLEH TAHAN

TAMAN SRI INDAH – Walaupun sudah membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi penduduk masih tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Kilang yang muncul sejak 10 tahun lalu di kawasan perumahan mereka semakin bertambah malah bangunan kilang pula semakin besar.
Apa yang dibimbangkan penduduk jumlah lori keluar masuk menggunakan jalan di sekitar taman perumahan itu mendedahkan mereka kepada risiko kemalangan.
Taman Sri Indah terdiri daripada 600 unit rumah dan menempatkan hampir 3,000 penduduk ini me-ngalami pelbagai permasalahan yang berbangkit sehingga mereka tidak tahan lagi menanggungnya.
Mereka mendakwa semenjak wujudnya kilang itu, kawasan perumahan mereka tidak lagi selamat didiami.
Setiap hari banyak lori keluar masuk dari peruma-han berkenaan sehingga mendatangkan kebimbangan kepada mereka.
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Ustaz Abdul Hamid Yusof berkata, setiap hari banyak lori keluar masuk dari taman perumahan berkenaan sehingga mendatangkan kebimbangan kepada mereka.
taman ini berdekatan dengan JUSCO CHERAS SELATAN DAN ECONSAVE BALAKONG..
Selasa, 9 Jun 2009
bapak lu punya ka?

Sentral: Tidak boleh letak tong kosong di petak kereta
Oleh Zulhilmi Hat
hilmi@bharian.com.my
PEMILIK bengkel meletak tong bagi menghalang pengguna meletak kereta di Uptown, Damansara.
PBT boleh kompaun pemilik premis lakukan kesalahan
KUALA LUMPUR: Cuba anda bayangkan apabila rancangan membawa keluarga menikmati makan tengah hari di restoran kegemaran di Uptown Damansara, terbantut hanya gara-gara tiada tempat untuk meletak kenderaan.
Puas mengelilingi kawasan dan terjumpa petak kosong, tetapi apabila mendekatinya terdapat beberapa tong kosong berwarna kuning terpacak di tempat letak kereta itu.Sekali lagi kecewa dan hasrat untuk menjamu selera bersama keluarga, terus terbantut.
Inilah masalah yang sering dihadapi pengunjung kawasan berkenaan dan semua masalah itu berpunca daripada sikap pemilik bengkel dan kedai aksesori yang membolot lebih daripada satu petak tempat letak kereta yang dikhaskan kepada pelanggannya.
Tinjauan wartawan Sentral di sekitar Uptown dan Dataran Sunway, Damansara mendapati pemilik bengkel meletakkan halangan terbabit di tempat letak kereta awam.
Difahamkan pemilik premis ini meletakkan pelbagai halangan seperti kerusi, kon, tong kosong dan papan tanda untuk menghalang orang ramai meletakkan kenderaan di kawasan berhampiran premis mereka.
Masalah ini berlaku sejak premis terbabit mula beroperasi dan tindakan yang diambil PBT untuk mengekang masalah yang berlarutan hingga hari ini tidak memberi kesan kepada pemilik premis itu.
Pegawai Perhubungan Awam Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Zainun Zakaria, berkata tiada kuasa untuk mana-mana pemilik premis meletakkan atau memiliki tempat letak kereta sendiri tanpa kebenaran majlis.
Katanya, perbuatan pihak terbabit boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 iaitu dikompaun dan premis mereka disita.
“Denda maksimum sebanyak RM500 akan dikenakan kepada premis yang melakukan kesalahan ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau menambah, pemilik premis hanya boleh menyewa tapak kereta itu daripada majlis untuk tujuan sebagai laluan masuk kenderaan dalam premis mereka.
“Kadar sewaan adalah sebanyak RM400 sebulan. Kelulusan ruang sewa petak juga ditentukan selepas pegawai majlis yang turun padang melihat semua syarat, yang ditetapkan.
“Selepas itu, garisan dengan cat merah akan dibuat di kawasan yang hanya dikhaskan untuk premis itu saja,” katanya.
Sementara itu, pemilik kenderaan, Selva Nathan, 61, berkata masalah tiada tempat letak kenderaan itu lebih meruncing di waktu kemuncak ketika orang ramai datang makan tengah hari di kawasan berkenaan.
“Kadangkala saya terpaksa meronda dengan kereta kira-kira setengah jam untuk mencari tempat letak kereta itu. Keadaan seperti ini akan menyusahkan semua pihak jika dibiarkan berlanjutan.
“Saya terpaksa berfikir dua kali untuk datang ke kawasan ini untuk makan atau urusan lain memandangkan tempat letak kereta yang terhad dan ditambah lagi sikap pemilik bengkel di sini yang membolot tempat kereta awam,” katanya.
Aiman Abd Karim, 26, berkata tindakan pemilik premis terbabit membolot petak letak kenderaan mengundang kemarahan pengguna lain, yang terpaksa meletakkan kenderaan mereka di kawasan larangan.
“Akibatnya, kami menerima saman atas tindakan yang berpunca daripada pemilik premis yang sesuka hati ‘menempah’ tempat letak kereta sendiri,” katanya.
Jayendran, 26, meminta pihak berkuasa tempatan mengambil tindakan tegas menangani masalah itu.
Ahad, 7 Jun 2009
mau mati katak
BERANINYA! Hanya itu yang mampu diluahkan tatkala melihat gelagat pelajar berkonvoi pulang dari sekolah dengan menunggang motosikal masing-masing.
Kelihatan dari jauh, masing-masing ingin menunjukkan kebolehan dan kemahiran mengendalikan motosikal dengan aksi berbahaya tanpa menggunakan topi keledar. Si pembonceng pula, sibuk bergurau dengan kawan berlainan motosikal tanpa memegang si penunggang untuk langkah keselamatan.
Jarak antara kawasan perumahan dengan sekolah yang sangat dekat mungkin menyebabkan ibu bapa berasa anak mereka dalam keadaan selamat walaupun menunggang motosikal tanpa menggunakan topi keledar dan tiada lesen.
Tetapi, mereka juga mungkin tidak sedar malang tidak berbau, apa juga boleh berlaku tanpa diduga.
Contohnya, kes kemalangan baru-baru ini membabitkan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun maut bersama anak saudaranya selepas motosikal ditunggang bertembung sebuah lori.
Pada usia 14 tahun, dia sememangnya belum cukup umur untuk menunggang motosikal apatah lagi mempunyai lesen, tetapi sudah diberi kebenaran menghantar kakaknya ke pekan yang jaraknya tujuh kilometer dari rumah bersama anak saudaranya berusia dua tahun.
Persoalannya, wajarkah pelajar bawah umur diberi kebenaran menunggang motosikal? Ini kerana, syarat seseorang itu boleh menunggang motosikal serta mendapatkan lesen adalah pada usia 16 tahun dan ke atas.
Bagaimanapun, kini rata-rata pelajar yang masih di bawah umur sudah diberi kepercayaan dan kebenaran menunggang motosikal. Lebih mengejutkan, keberanian mereka menunjukkan aksi ganas seperti yang dilakukan Mat Rempit.
Siti Rahmah Jamaluddin, 45, berkata dia sememangnya tidak membenarkan anaknya menunggang motosikal tanpa lesen tetapi perkara itu tidak dapat dielakkan.
Ini kerana, menurutnya, walaupun tanpa kebenaran, anak-anak biasanya menunggang motosikal secara sembunyi tanpa ibu bapa sedari.
“Setiap anak punya kehendak serta mahu mencuba sesuatu yang baru dan biasanya, kegilaan mereka adalah menunggang motosikal.
“Apabila sudah minat, sekeras manapun kita larang, mereka tetap melakukannya tanpa kita sedari.
“Oleh itu, lebih baik kita merestui atau membenarkan mereka menunggang motosikal. Sekurang-kurangnya kita tahu apa mereka lakukan dan tahu keadaan motosikal ditunggangnya,” katanya.
Menurutnya, memberi kebenaran anak-anak menunggang motosikal dapat membantu dalam pelbagai hal di samping menyenangkan mereka ke sekolah.
“Jarak antara sekolah dan rumah bukanlah jauh, jadi dengan adanya motosikal, mereka senang untuk ke sekolah dan pulang awal ke rumah.
“Mereka juga boleh membantu dalam pelbagai hal jika boleh menunggang motosikal seperti membeli barangan dapur di kedai,” kata ibu empat anak lelaki itu.
Walaupun memberi kebenaran anaknya menunggang motosikal tanpa lesen, itu tidak bermakna Rahmah tidak menyayangi anaknya dan membiarkan mereka melanggar undang-undang jalan raya.
“Saya sedar, memberi kebenaran anak menunggang motosikal tanpa lesen adalah salah dan berbahaya.
“Oleh itu, saya sentiasa pastikan mereka menunggang motosikal dengan berhemah dan menggunakan topi keledar walaupun hanya ke kedai runcit yang hanya terletak 100 meter dari rumah.
“Selain itu, apabila genap saja usia anak 16 tahun, saya pastikan mereka mendapatkan lesen sekali gus sebagai hadiah hari jadi,” katanya.
Bagi bapa tiga anak, Mohd Zaidi Mohamed Alias, 50, dia sama sekali tidak membenarkan anaknya menunggang motosikal.
Menurutnya, pengalaman dialaminya 35 tahun lalu menjadi punca dia tidak membenarkan anaknya menunggang motosikal termasuk menjadi pembonceng.
“Walaupun motosikal adalah kenderaan yang cukup memberi kesenangan kepada pengguna untuk melakukan aktiviti harian, ia juga kenderaan yang sangat berbahaya.
“Cukuplah hanya saya yang merasa sakit dan sengsara serta terlantar di hospital kerana terbabit dalam kemalangan kerana menunggang motosikal, bukannya anak-anak,” katanya.
Zaidi tidak menafikan anak muda kini tetap akan menunggang motosikal walaupun dilarang keluarga seperti yang dilakukan anaknya.
“Sebagai ibu bapa, kita punya kuasa dan pengaruh terhadap anak. Walaupun mereka berkeras mahu menunggang motosikal, kita masih boleh berbincang dengan mereka dan menggantikan motosikal dengan pelbagai benda lain yang mereka inginkan.
“Kita juga perlu tegas dan tidak mengikut apa saja yang diinginkan kerana larangan itu untuk kebaikan mereka,” katanya.
Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia, Hamzah Masri, berkata membenarkan anak yang tidak punya lesen menunggang motosikal adalah satu kesalahan.
“Menjadi satu kesalahan seseorang itu membenarkan orang lain yang tidak punya lesen memandu kenderaan. Jika didapati bersalah, pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Oleh itu, kesatuan berharap pemilik kenderaan lebih berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya membenarkan kenderaannya dipandu orang lain,” katanya.
Dengan kesedaran dariada pemilik kenderaan, isu berkaitan permasalahan ini boleh dibanteras dan ia tidak akan memberikan masalah kepada pemilik kenderaan di belakang hari,” katanya.
Selain itu, menurutnya, kesatuan berharap ibu bapa lebih bertanggungjawab menangani masalah penggunaan motosikal.
“Membenarkan anak menunggang motosikal tanpa lesen bagi menyelesaikan sesuatu perkara bukan langkah terbaik kerana ia membabitkan undang-undang.
“Ia juga salah sama sekali. Jadi, pastikan anak mempunyai lesen memandu yang sah barulah benarkan menggunakan kenderaan.
“Tindakan itu boleh mengelakkan ibu bapa berdepan masalah di masa akan datang dan tidak menyusahkan anggota masyarakat lain terutama isu penggunaan motosikal di kalangan pelajar sekolah di bawah umur,” katanya.
hutang iwk
Rakyat hutang IWK RM650 juta
KUALA LUMPUR 5 Jun – Orang ramai terutama penghuni rumah kos rendah di ibu negara mencatatkan hutang tertunggak sebanyak RM650 juta dengan syarikat pembentungan Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK).
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, kementerian tidak teragak-agak menyaman mereka itu yang telah dikenal pasti sebagai penghuni yang degil untuk membayar tunggakan bil sejak 12 tahun lalu.
“Kita pelik dengan sikap mereka. Kita tidak tahu apa punca mereka enggan membayar namun kadar RM2 sebulan yang dikenakan adalah rendah dan bukan satu bebanan kepada mereka,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas membuat lawatan dan mendengar taklimat di Ibu Pejabat IWK di sini hari ini.
Timbalannya, Noriah Kasnon dan Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Halim Man turut hadir.
Dalam perkembangan berkaitan, Fah Kui berkata, IWK kini dalam proses untuk menutup pusat pembentungan kecil yang dilihat kurang beroperasi.
Katanya, pusat pembentungan itu akan dipusatkan ke beberapa kawasan besar yang dapat menampung perkhidmatan kepada lebih ramai penduduk.