Khamis, 16 Julai 2009

pencemaran ammonia dlm sumber air mentah

Pencemaran: Penyelesaian menyeluruh perlu demi pengguna

KAJANG – Walaupun Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 ditutup berikutan pencemaran ammonia dalam sumber air mentah tetapi penduduk sekitar Balakong dan Cheras tidak mengalami gangguan bekalan air.

Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, Syabas mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau bagi Wilayah Hulu Langat pada jam 1.30 tengah hari.

Menurutnya, ia bertujuan untuk memantau serta memastikan bekalan air dapat dibekalkan kepada pengguna secara berterusan menerusi sumber bekalan alternatif sedia ada termasuk pembekalan menerusi lori-lori tangki sekiranya perlu.

“Bekalan air dari Loji Rawatan Air Sungai Langat disalurkan bagi memastikan penduduk menerima bekalan air dari Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 tidak mengalami gangguan bekalan air.

“Keseluruhan kawasan yang sepatutnya mengalami gangguan bekalan air mendapat bekalan air seperti biasa berikutan tindakan awal diambil pihak kami,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Bagaimanapun, Halem berkata, Loji Rawatan Air Sungai Langat dijangka tidak mampu untuk menampung permintaan bagi kawasan terlibat sekiranya penutupan Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 berterusan dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, Syabas sedang berusaha untuk menyalurkan bekalan air dari sumber alternatif yang lain bagi membantu menampung keperluan kawasan yang terjejas sehingga Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 beroperasi semula.

“Walaupun tidak mengalami gangguan bekalan air tetapi Syabas mengambil inisiatif dengan menyediakan empat lori tangki dalam keadaan tunggu sedia bagi membekalkan air sementara ke kawasan terlibat sekiranya berlaku gangguan bekalan air.

“Sehingga ke hari ini, Syabas masih belum menerima sebarang aduan daripada kawasan terbabit dan mereka turut mempergiatkan pemantauan paras air pada kola air utama malah tindakan segera akan diambil sekiranya terdapat aduan daripada pengguna,” katanya.

Namun demikian, Halem berkata, tempoh penutupan loji itu masih belum dapat dipastikan dan Puncak Niaga Sendirian Berhad (PNSB) sentiasa memantau serta melakukan ujian ke atas kualiti air mentah di muka sauk loji berkenaan.

Beliau berkata, ia adalah bagi memastikan loji itu telah bebas daripada pencemaran sepenuhnya sebelum ia boleh beroperasi semula dan kejadian penutupan loji sebegini adalah kejadian kelima sejak awal 2009.

Syabas ingin memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 yang diuruskan PNSB terpaksa diberhentikan operasinya bermula jam 10 pagi kelmarin berikutan pencemaran ammonia yang tinggi dalam sumber air mentah di muka sauk loji yang menerima bekalan air mentah dari Sungai Langat.

“Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 berkapasiti pengeluaran 27 juta liter sehari dan membekalkan air bersih kepada 130,000 pengguna di sekitar kawasan Balakong serta Cheras dengan jumlah 26,000 akaun pengguna,” katanya.

Halem berkata, PNSB bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) serta Indah Water Konsortium (IWK) masih berusaha untuk mengenal pasti punca pencemaran itu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian sekitar Balakong mendapati penduduk menjalani rutin harian seperti biasa walaupun LRA Cheras Batu 11 ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Bahru Balakong, Yap Yoon berkata, sehingga semalam bekalan air di kawasan beliau masih dalam keadaan baik.

“Bekalan air masih tetap ada seperti biasa, cuma air kelihatan agak kotor berbanding daripada selu dan bagi kediaman yang memasang penapis air maka saluran air mereka tidak akan mengalami kekotoran seperti rumah lain,” katanya.

Manakala, seorang penduduk di Kampung Bahru Balakong, Yap Hock Keong berkata, tekanan air di penempatan itu semuanya stabil dan tidak berubah walaupun LRA Cheras Batu 11 ditutup.

Menurutnya, bekalan air tidak terganggu hanya air yang disalurkan sedikit keruh berbanding hari lain dan ia berkemungkinan disebabkan kandungan ammonia yang tinggi dalam sumber air mentah itu.

“Pada siang harinya keadaan air tidak kotor dan keruh tetapi bermula dari jam 8 malam bekalan air yang diterima menjadi keruh dan keadaan kembali pulih pada keesokan harinya.

“Keadaan ini adalah pertama kali berlaku dan kebanyakan penduduk tidak mengetahui berkaitan dengan penutupan LRA Cheras Batu 11 ini jika sebaliknya pasti mereka akan menadah air untuk persiapan sekiranya gangguan bekalan air berlaku,” katanya.

Sementara, seorang pemilik restoran, Ow Kar Wang berkata, selama dua hari bekalan air yang diterima adalah seperti biasa dan tidak mendatangkan sebarang masalah mahupun gangguan malah tekanan air juga tidak terganggu.

Menurutnya, sekiranya penutupan loji itu telah menyebabkan gangguan air berlaku tetapi beliau tetap akan meneruskan perniagaan seperti biasa dan mengambil inisiatif dengan membawa bekalan air dari rumah.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Kim Sin berkata, beliau kesal dengan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 kerana ini bukan kali pertama kejadian berkenaan berlaku.

Menurutnya, satu penyelesaian menyeluruh perlu dilakukan semua syarikat bekalan air supaya perkara sebegini tidak berulang lagi, selain memastikan sumber air mentah disalurkan kepada pengguna adalah bersih dan selamat digunakan.

“Kandungan ammonia dalam air yang tinggi adalah dipercayai berpunca daripada pembuangan sampah ke dalam sungai, dan apabila ia terlarut dalam air, ia boleh menjejaskan kesihatan pengguna yang mendapatkan bekalan air daripada LRA itu.

“Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) perlu bekerjasama dengan semua syarikat bekalan air supaya mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang telah bertindak membuang sampah ke dalam sungai sehingga mengakibatkan pencemaran serius,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kim Sin berkata, kandungan ammonia yang tinggi juga dipercayai adalah berpunca daripada pengaliran air dari kilang yang beroperasi berhampiran dengan tebing sungai dan pihaknya sendiri akan membantu MPKj dalam mengenakan tindakan terhadap mereka yang ingkar dan telah mengalirkan sisa toksik ke dalam sungai berhampiran.

Rabu, 15 Julai 2009

Pengerusi JKKK didakwa berceramah sebelum salur bantuan

Sidang DUN Selangor: Pengerusi JKKK didakwa berceramah sebelum salur bantuan

SHAH ALAM: Segelintir Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) didakwa mengadakan ceramah politik sebelum menyerahkan wang bantuan Skim Khairat Kematian berjumlah RM2,500 kepada waris keluarga yang meninggal dunia.

Pengerusi JKKK terbabit juga didakwa sibuk mengambil gambar dengan pelbagai gaya ketika urusan pengebumian yang boleh mengganggu tugas pengebumian jenazah.

Dakwaan itu dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang (Barisan Nasional-BN), Sulaiman Abdul Razak ketika bertanyakan soalan kepada Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail pada sesi soal jawab sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Sulaiman mahu penjelasan adakah menjadi dasar kerajaan negeri setiap Pengerusi JKKK mesti berucap mengenai isu berbaur politik dan mengambil gambar jenazah sebelum menyampaikan sumbangan itu.

"Adakah menjadi dasar kerajaan negeri, Pengerusi JKKK perlu berucap di depan jenazah dan ahli keluarga untuk memberitahu orang ramai bahawa kerajaan negeri memberi sumbangan wang tunai ini.

"Ada yang mengambil gambar dengan siap 'berposing' depan jenazah dan ia boleh mengganggu urusan pengebumian," katanya.

Rodziah berkata, perkara itu bukan menjadi dasar kerajaan negeri tetapi mengambil gambar menjadi satu keperluan sebagai bukti wang berkenaan diserah dan direkodkan.

Ditemui di luar Dewan, Rodziah berkata, ucapan sebelum memberikan bantuan wang tunai itu mungkin tindakan peribadi Pengerusi JKKK terbabit, bukan arahan kerajaan negeri.

"Saya mesti siasat kerana mungkin dakwaan ini berniat jahat untuk memberi imej buruk kepada kerajaan Pakatan Rakyat," katanya.

Katanya, bantuan mesti diberikan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh kematian dan diberikan secara dua peringkat iaitu RM1,000 bagi peringkat pertama dan RM1,500 untuk peringkat kedua.

Cukai pintu MPSepang terlalu tinggi

Cukai pintu MPSepang terlalu tinggi

SEPANG 15 Julai - Penduduk di Desa Pinggiran Putra Fasa Satu di sini tidak berpuas hati dengan kadar cukai taksiran yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang didakwa mereka sebagai terlalu tinggi.

Penduduknya mendakwa, cukai pintu yang dikenakan MPSepang iaitu sehingga 7.35 peratus ke atas nilai tahunan harta penduduk tidak sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan.

Menurut mereka, kadar tersebut juga jauh lebih tinggi berbanding yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pengerusi Persatuan Penduduknya, Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, kualiti perkhidmatan kontraktor lantikan MPSepang juga didapati semakin merosot.

"Antara satu masalah yang dihadapi penduduk ialah rumput di kawasan perumahan yang jarang dipotong.

"Parit di taman perumahan juga tidak diselenggarakan dengan baik di mana sampah yang dikeluarkan dari parit hanya diletakkan di tepi jalan dan tidak dibersihkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohamad Zabawi berkata, penduduk di Desa Pinggiran Putra sepatutnya dikenakan cukai pintu yang lebih rendah memandangkan kemudahan awam yang dinikmati adalah terhad.

"Kawasan perumahan kami tidak dihubungi dengan bas awam serta tidak mempunyai pejabat pos.

"Keadaan ini menunjukkan Desa Pinggiran Putra seakan-akan terpinggir daripada arus pembangunan," katanya.

Menurutnya, pokok-pokok besar di Desa Pinggiran Putra juga tidak dicantas sehingga membahayakan keselamatan nyawa dan harta penduduk.

"Penduduk di sini meminta MPSepang segera mencantas pokok-pokok yang terlalu terbesar supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan," katanya.

Kerajaan Selangor mungkir janji

Kerajaan Selangor mungkir janji

Oleh RASMI ABDULLAH
kota@utusan.com.my
SHAH ALAM 15 Julai - Rakyat di negeri ini menyifatkan kerajaan negeri mungkir janji kerana tidak menjual 10 buah banglo Exco di Seksyen 7 di sini seperti yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya umum tahun lalu.

Mereka juga kesal dengan keputusan itu kerana sebelum ini kerajaan negeri sendiri mendakwa pembinaan banglo-banglo tersebut satu pembaziran.

Seorang pekerja swasta, Manshor Mohd. Rejab, 50, berkata, kerajaan negeri sepatutnya menunaikan janji mereka agar rakyat menaruh kepercayaan kepada barisan kepimpinannya.

"Mereka patut jual juga banglo itu seperti yang dijanjikan bagi menunjukkan mereka pemimpin yang berpegang pada janji.

"Sekarang apa sudah jadi, semua hanya tinggal janji-janji manis saja, saya juga rasa kecewa dengan keputusan kerajaan negeri kerana ini menunjukkan kepincangan kepimpinan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad memberitahu kerajaan tidak akan menjual premis tersebut.

Sebaliknya, banglo-banglo tersebut kini diserahkan pengurusannya kepada De Palma Hotels Sdn. Bhd., bagi urusan sewaan jangka pendek dan panjang.

Manshor berkata, adalah tidak logik tawaran jualan kesemua banglo itu tidak mendapat sambutan.

Seorang lagi pekerja swasta Mohd. Maleq Rahim, 27, berkata, kegagalan kerajaan negeri mengotakan janji menunjukkan barisan kepimpinannya pandai berpura-pura.

"Kalau tidak boleh tunai janji, jangan berjanji, kalau setakat cakap sahaja budak-budak pun boleh cakap macam itu. Kerajaan negeri hanya mengaburi mata rakyat dengan janji-janji kosong sahaja," ujarnya.

Presiden Persatuan Kebajikan dan Sosial Seri Permatang, S.Vijian Raj, 31, pula berpendapat, keputusan kerajaan negeri itu mungkin dipengaruhi oleh faktor ekonomi sekarang yang kurang memberangsangkan.

Katanya, kerajaan negeri mungkin takut mengalami kerugian jika menjual banglo itu sekarang.

"Saya harap kerajaan negeri dapat menunaikan janji mereka apabila ekonomi beransur pulih supaya tidak berlaku pembaziran," ujarnya.

pengusaha restoran tak makan saman

Pengusaha degil terima padah

KAJANG – Anggota Penguatkuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita hampir 50 kerusi meja di tiga lokasi berbeza sekitar Kajang berikutan kedegilan pengusaha restoran melanggar peraturan apabila meletakan alatan perniagaan mereka di kawasan meletak kenderaan.

Pengawai Penguatkuasa MPKj, Rajani Rajimin berkata, sebanyak lima restoran diserbu dalam operasi itu berikutan tindakan pengusaha meletakan alatan perniagaan hingga menghalang lalu lintas di sini.

Menurutnya, operasi di tiga lokasi iaitu Taman Sepakat Indah Fasa Satu dan Fasa Dua serta Taman Kajang Prima melibatkan 12 anggota dengan tiga kenderaan.

“Sebelum sesuatu operasi merampas kerusi dan meja ini dilakukan penguatkuasa terlebih dahulu melakukan pemantauan dalam bentuk rondaan bagi mengenal pasti lokasi yang perlu diserbu.

“Arahan untuk melakukan operasi memang telah ada, tetapi kami sebagai penguatkuasa juga perlu peka dengan persekitaran dan ia adalah tugasan harian yang perlu dilakukan pihak kami,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Rajani berkata, alatan pengusaha yang terlibat disita tetapi kompaun hanya akan dikeluarkan kepada pemilik restoran ketika mereka datang untuk menuntut barang rampasan.

“Ini bukan operasi pertama dilakukan anggota penguatkuasa MPKj, tetapi kerap dilakukan ke atas pengusaha yang sama setelah aduan dan pemantauan dilaporkan kepada pihak kami,” katanya.

Isnin, 13 Julai 2009

kadar premium insurans kenderaan melampau

BNM kaji kadar premium insurans kenderaan 'melampau'

PULAU PINANG 12 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) akan membuat rombakan terhadap kadar premium insurans kenderaan bermotor bagi mencari satu kadar yang sesuai dan adil untuk semua pihak.

Pengurus Unit Pengurusan Aduan dan Khidmat Nasihat, Jabatan Komunikasi Korporat BNM, Datin Khalijah Hashim berkata, sekarang adalah masa paling sesuai untuk BNM berbuat demikian kerana polisi yang digunapakai kini berusia lebih 30 tahun.

Menurutnya, ia juga berikutan aduan orang ramai mengenai perkara itu yang semakin hari semakin banyak dan setakat ini perbincangan sedang berjalan antara BNM dan 34 syarikat Insurans Am Malaysia (IAM).

"Kami menyedari dan menerima banyak rungutan tentang kadar premium insurans untuk kenderaan bermotor yang terus naik terutama bayaran penyambungan insurans motosikal pihak ketiga.

''Jangan risau, semuanya akan diambil kira dalam perbincangan ini. BNM sedang cuba membuat satu rombakan yang adil dan sesuai untuk semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perjumpaan Persatuan Pengusaha Pengangkutan Lori Wilayah Utara (PPPLWU) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan BNM di sini hari ini.

Menurut Khalijah, kadar baru premium insurans itu nanti akan tetap mengambil kira tiga faktor utama iaitu umur kenderaan, umur pemandu dan jumlah tuntutan yang pernah dibuat pemandu.

Katanya, jika risiko semakin tinggi, kadar premium yang dikenakan juga lebih tinggi sedikit daripada kadar biasa.

''Sebagai contoh, jika usia kenderaan lebih 10 tahun dan pemandu yang memohon juga usianya sudah 50 tahun, kadar premium insurans memang lebih tinggi kerana risikonya tinggi dan begitulah sebaliknya.

''Saya tidak dapat menetapkan bila kadar baru ini dapat diumumkan kerana ia masih pada tahap perbincangan," jelasnya.

Sementara itu, Khalijah berkata, bagi mereka yang sukar melakukan penyambungan insurans motosikal bagi pihak ketiga ekoran banyak syarikat insurans enggan berbuat demikian kini boleh mendapatkan perlindungan Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) di cawangan-cawangan Pos Malaysia mulai 10 Julai lalu.

Dalam keadaan pasaran insurans motor mengalami kerugian besar sekarang, katanya, banyak penanggung insurans sama ada enggan mengambil risiko ataupun mengurangkan risiko taja jamin, terutamanya bagi insurans pihak ketiga.

Bagaimanapun, menurut beliau, orang ramai boleh mencari altenatif lain dengan mendapatkan perlindungan insurans daripada MMIP.

''Jangan jadikan satu alasan untuk kita tidak mahu dilindungi insurans kerana ia amat penting terutama apabila berlaku kemalangan.

''Walaupun kadar yang dikenakan MMIP lebih tinggi, namun ini adalah alternatif terbaik kerana banyak syarikat insurans tidak mampu lagi menanggung nisbah tuntutan yang banyak daripada pengguna setiap tahun terutama bagi insurans pihak ketiga," katanya.

Jumaat, 10 Julai 2009

manoharan cilake

Tahan semula Manoharan bawah ISA

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan perlu ditahan semula di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran tindakannya tidak menghormati institusi raja selain terus mempertikaikan status bumiputera.

Menurut Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad, Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil tindakan itu memandangkan Manoharan sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara.

Beliau berkata, tindakan menegur rakannya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) memakai songkok atas alasan bukan bumiputera merupakan bukti Manoharan sengaja mencetuskan provokasi di kalangan orang Melayu.

"GPMS melihat apa dinyatakan Manoharan di DUN Selangor kelmarin itu ada dua perkara besar iaitu kegagalannya menghormati institusi raja serta tindakannya yang sengaja membakar perasaan orang Melayu.

"Manoharan harus sedar tuntutannya itu bersifat biadap serta kurang ajar. Kenyataannya itu tidak menggambarkan dia seorang warganegara. Oleh itu sebelum perkara lebih buruk berlaku lebih baik Manoharan ditahan mengikut ISA," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Manoharan ketika muncul buat kali pertama di persidangan DUN Selangor kelmarin iaitu selepas dibebaskan daripada ISA Mei lalu, telah menyatakan kurang senangnya melihat Chang Khim memakai songkok semasa menjalankan tugas pada persidangan itu.

Ujar Manoharan, beliau tidak berapa gembira dengan pemakaian songkok kerana orang bukan Melayu tidak diberikan status bumiputera dan masih dilayan sebagai kumpulan berbeza.

Syed Anuar berkata, pemakaian songkok oleh Speaker bagi satu-satu DUN adalah untuk menghormati institusi raja kerana DUN merupakan lambang kepada pemerintahan Raja Berperlembagaan bagi sesebuah negeri.

"Sehubungan itu dalam usaha memelihara keamanan dan keharmonian kaum, kerajaan harus mengambil tindakan paling tegas dan segera. Jangan biarkan orang seperti ini ada dalam masyarakat kita," katanya.

Nada serupa turut disuarakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Megat Zulkarnain Omardin yang mahu kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap Manoharan.

Beliau berkata, orang Manoharan itu tidak harus dibiarkan kerana tindakannya terus mempertikaikan status bumiputera dan sengaja mencetus kontroversi pada persidangan DUN Selangor kelmarin boleh mengundang kemarahan masyarakat Melayu.

"Manoharan cuba bermain api kerana sengaja menyentuh hak keistimewaan golongan bumiputera yang selama ini dipelihara Perlembagaan Persekutuan," katanya yang juga Pengerusi Putera UMNO.

Sambil meminta kerajaan menyegerakan penahanan Manoharan di bawah ISA, Megat Zulkarnain mengingatkan kesabaran orang Melayu ada hadnya.

"Saya amat berharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengambil perhatian dengan isu ini kerana Manoharan kini dilihat semakin berani membuat kenyataan berbau perkauman.

"Tolong jangan biarkan orang seperti ini kerana dia boleh menjadi perosak kepada keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini," katanya.

Presiden Pertubuhan Anak Muda Melayu Malaysia, Asrul Muniff Azizan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Manoharan itu sebagai amat berbahaya.

Sehubungan itu, beliau mahu KDN khususnya Hishammuddin sebagai menteri bertanggungjawab mengambil tindakan tegas ke atas ADUN Kota Alam Shah itu sekiranya enggan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan kontroversi.

"Nampaknya sejak dibebaskan daripada tahanan ISA, Manoharan terus bertindak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang amat berbahaya dan boleh menyebabkan rusuhan kaum.

"Kita tidak mahu keadaan ini berlaku kerana selama ini kita hidup dalam keadaan aman dan damai atas semangat tolak ansur serta kompromi. Mahu tidak mahu kerajaan wajar berbuat sesuatu sebelum kejadian lebih buruk berlaku," tambahnya.
‘Saya dirogol hingga ke pagi’

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my


KAJANG: “Saya dirogol berulang kali hingga ke pagi ketika dikurung di sebuah pondok di Sungai Lui, Ahad lalu.

“Lebih mengaibkan apabila perbuatan keji itu diperhatikan tiga wanita dan dua lelaki dipercayai rakan lelaki yang menculik saya,” kata pelajar berusia 15 tahun menceritakan penderitaan dialaminya ketika dikurung selepas dilarikan dari Hospital Kajang (HK), di sini, oleh beberapa individu tidak dikenalinya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan mengenai kejadian seorang pelajar berusia 15 tahun ‘diculik’ seorang lelaki berusia lingkungan 20-an ketika menjalani rawatan dan pemeriksaan kesihatan selepas mendakwa dirogol individu yang hanya dikenali Hairi, 30-an.

Apa yang menghairankan, kehilangan remaja terbabit dari hospital berkenaan berlaku ketika dia masih berada dalam pengawasan pihak berkuasa dan kakitangan HK.
Difahamkan, remaja terbabit yang dipaksa mengikuti seorang lelaki tidak dikenali dengan meloloskan diri melalui tingkap tandas hospital berkenaan.
Selepas itu, gadis malang berkenaan dibawa menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira ke sebuah pondok di Sungai Lui, di sini, sebelum beberapa ahli kumpulan terbabit termasuk tiga wanita memaksanya untuk menarik semula laporan polis yang dibuatnya.

Lebih malang, ketika dikurung remaja terbabit sekali lagi dirogol seorang lelaki sambil diperhatikan ahli kumpulan berkenaan.

Menurut mangsa, dia hanya mampu menangis selain terpaksa menahan kesakitan yang teramat sangat ketika dinodai suspek.

“Dia melakukannya (perkosa) berulang kali bermula kira-kira jam 11 malam hingga ke awal pagi. Kejadian itu cukup mengaibkan saya.

“Mana tidaknya, perbuatan keji itu diperhatikan individu lain sambil mereka mengarahkan lelaki durjana itu melakukan pelbagai aksi luar biasa ketika menodai saya,” katanya yang kelihatan masih truma.

Menurutnya, akibat tidak tahan diperlakukan sebagai hamba seks, dia bersetuju menarik semula laporan polis yang dibuat sebelumnya.

“Kira-kira jam 9 pagi, mereka menghantar saya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Kajang, di sini, untuk menarik semula laporan.

“Bagaimanapun, saya ditahan pihak berkuasa ketika berbuat demikian. Saya berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan setimpal terhadap mereka yang melakukan perkara terkutuk itu,” katanya.

Difahamkan, pada mulanya mangsa enggan membuat laporan polis mengenai tindakan lelaki kedua yang merogolnya kerana malu namun selepas dinasihatkan ahli keluarga, gadis malang itu berubah fikiran sebelum membuat laporan di IPPD Kajang, untuk tindakan dan siasatan lanjut.

MB bidas enggan patuh etika pakaian

MB bidas enggan patuh etika pakaian

SHAH ALAM: Keengganan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah dari DAP, M Manoharan memakai songkok atau baju Melayu ketika menghadiri majlis rasmi dibidas wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Manoharan boleh memilih untuk tidak hadir pada majlis rasmi terutama di istana jika enggan mematuhi etika berpakaian.

"Beliau tidak boleh pergi menghadap Sultan jika tidak memakai pakaian mengikut istiadat. Dia boleh memilih untuk tidak pergi," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Manoharan kelmarin yang enggan memakai songkok dan baju Melayu ketika menghadiri majlis rasmi kerajaan negeri termasuk yang dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Adun Sri Muda, Suhaimi Shafie pula mahu Manoharan sedar bahawa kemenangan beliau pada pilihan raya lalu kerana mendapat undi pelbagai kaum.

Katanya, Manoharan perlu belajar untuk tidak bersifat perkauman dan lebih sensitif atau peka dengan budaya masyarakat lain.

"Walaupun tidak memakai songkok adalah prinsip DAP sejak dulu, DAP sudah menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat dan perlu berubah mengikut kehendak semasa," katanya.

Sehubungan itu, Suhaimi mengingatkan Manoharan supaya berhenti daripada menimbulkan sebarang isu yang boleh memecah-belahkan perpaduan Adun Pakatan Rakyat di Selangor.

Adun Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim, berkata Manoharan perlu sedia menanggung risiko akibat tindakan beliau tidak mematuhi protokol jika ada pihak yang tidak puas hati.

"Beliau mungkin sudah bersedia dengan tindakan yang boleh dikenakan jika terus dengan prinsip ini. Kita tidak mampu buat apa jika membabitkan prinsip seseorang, apatah lagi perkara ini sudah lama diperjuangkan DAP," katanya.

Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pula menganggap kenyataan Manoharan bertujuan mencari publisiti murahan.

Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak berkata, Manoharan membuat kenyataan itu kerana mahu desakan supaya bukan Bumiputera diberi taraf Bumiputera mendapat perhatian ramai.

Beliau berkata, Manoharan hanya berani membuat kenyataan kerana sidang dewan kali ini tidak membabitkan keberangkatan Sultan Selangor.

"Kita tunggu majlis yang dihadiri Sultan Selangor dan tengok sama ada beliau berani tidak memakai pakaian rasmi," katanya.

Adun Kuala Kubu Baru, Wong Koon Mun pula simpati dengan Manoharan yang masih kekal dengan prinsip itu sedangkan ahli DAP lain sudah berubah dan ada yang memakai tengkolok pada majlis pengurniaan pingat.

'Tidak layak jadi warganegara'

'Tidak layak jadi warganegara'

KUALA LUMPUR: Pakar sejarah dan pemerhati politik, Prof Emiretus Datuk Dr Khoo Kay Kim, menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan tidak layak menjadi warganegara Malaysia.

Beliau berkata, songkok dan baju Melayu sudah diterima sebagai sebahagian daripada pakaian kebangsaan dan ia tidak perlu lagi dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

"Songkok atau baju Melayu adalah pakaian kebangsaan. Mengapa (Manoharan) berperangai seolah-olah tidak tahu. Kalau seseorang hendak mengadap sultan atau Yang di-Pertuan Agong, perlu pakai songkok dan baju Melayu. Kalau tidak mahu pakai, jangan jadi warganegara atau keluar saja dari Malaysia," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Manoharan yang berkata, beliau tidak akan memakai pakaian yang beridentiti atau bercirikan kemelayuan sebagai protes terhadap kerajaan yang enggan memberi status Bumiputera kepada bukan Melayu.

"Saya tidak akan pakai songkok atau baju Melayu dalam apa juga acara, termasuk majlis rasmi yang dianjurkan kerajaan negeri dan dihadiri Sultan Selangor," kata Manoharan.

Khoo berkata, beliau kesal kerana Adun Kota Alam Shah ini menjadi wakil rakyat yang hanya mahu menimbulkan perpecahan di dalam negara dan bukannya untuk berkhidmat kepada rakyat.

Beliau juga mempersoalkan motif sebenar Manoharan membangkitkan persoalan kecil yang sudah diterima rakyat Malaysia selama ini.

"Mengapa suka membesarkan perkara yang kecil. Wakil rakyat sepatutnya membantu membahagiakan rakyat, bukan menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat. Kalau begini, lebih baik tidak payah jadi wakil rakyat," katanya.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Muhammad Zaki Ibrahim, berkata pemakaian songkok sebagai pakaian istiadat bagi persidangan Parlimen, DUN mahupun ketika menghadiri majlis diraja perlu dihormati.

"Pemakaian songkok adalah pakaian istiadat yang digunakan sejak zaman berzaman. Hendak atau tidak, suka mahupun tidak kita perlu menghormati etika pemakaian itu.

"Bagi seseorang yang menduduki kerusi Yang Dipertua Dewan, maka secara langsung kita perlu menghormati etika pakaian yang ditetapkan dan ia tidak mendatangkan masalah. Malah siapa saja termasuk bukan Melayu juga perlu menghormatinya," katanya.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, berkata beliau mengingatkan kepada orang Melayu supaya menginsafi diri mereka kerana kini wujud sekumpulan individu di negara ini yang berani menghina budaya Melayu.

Katanya, sikap Manoharan itu menunjukkan sebilangan kecil rakyat di negara ini tidak menghormati orang Melayu walaupun selama ini orang Melayu amat menghormati hak dan kebebasan kaum lain.

"Orang seperti ini sebenarnya tidak sedar `di mana bumi dipijak, di mana langit dijunjung'. Bagi diri saya, dia (Manoharan) hendak pakai apa pun pakailah. Kalau tidak mahu berpakaian pun tidak mengapa kerana kalau kita larang pun, kita dianggap tidak menghormati hak kebebasan orang lain dan kalau kita tegur, dianggap tidak demokrasi.

"Yang penting, orang Melayu perlu menginsafi diri sendiri kerana kini ada pihak yang mula berani memijak mereka," katanya.

Bagi bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nordin Ahmad, menyifatkan Manoharan biadap dan cuba mencabar hak Bumiputera.

Beliau mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, mengambil tindakan terhadap Manoharan yang menentang perlembagaan negara.

"Kita juga mahu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menanganinya," katanya.

Kenyataan Manoharan melampau, cabar hak

Kenyataan Manoharan melampau, cabar hak

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman, Sazarina Shahrim dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my

Adun Kota Alam Shah wajar ditahan bawah ISA

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Melayu menganggap kenyataan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), M Manoharan yang mahu bukan Melayu diberikan status Bumiputera, sebagai melampau dan berniat mahu memecah-belah masyarakat.

Mereka menyifatkan kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah itu sebagai mempertikaikan Perlembagaan negara dan wajar dikenakan tindakan termasuk ditahan semula menerusi ISA.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata Manoharan sebagai Adun cuba melupakan sejarah mengenai status Bumiputera dan mempolitikkan isu itu demi kepentingan dirinya.
Beliau juga memberi amaran, kenyataan sedemikian mampu merosakkan keharmonian dan perpaduan masyarakat Malaysia.

"Perlembagaan sudah termaktub siapa Bumiputera dan siapa bukan Bumiputera serta hak keistimewaan Bumiputera ini tanpa mengabaikan hak bukan Bumiputera. Ia sudah dipersetujui oleh semua kaum sebelum ini. Ia sejarah negara dan sebagai Adun sepatutnya dia lebih tahu dan bukan mempertikaikannya.

"Mungkin Manoharan masih belum insaf dan belajar selepas ditahan ISA. Saya harap beliau sedar tindakan beliau ini boleh menimbulkan kekacauan dan menggugat keharmonian negara," katanya.

Semalam, Manoharan berkata, beliau enggan memakai pakaian yang beridentiti atau bercirikan kemelayuan walaupun menghadiri majlis rasmi Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai protes terhadap kerajaan yang enggan memberi status Bumiputera kepada bukan Melayu.

Ketua Umum Barisan Bertindak Perpaduan Melayu, Osman Abu Bakar, berkata kenyataan Manoharan itu jelas menunjukkan beliau sebagai seorang yang bongkak dan buta sejarah.

"Kerajaan perlu ambil tindakan tegas terhadap mereka yang mempertikaikan Perlembagaan negara dan mencabar hak keistimewaan orang Melayu. Orang Melayu sudah banyak beralah sebelum ini dan kenyataan ini mencabar hak keistimewaan orang Melayu yang sudah dipersetujui semua.

"Sebagai rakyat Malaysia terutama Adun, kita harus taat dan hormat kepada raja tetapi ini sudah biadap terhadap Sultan," katanya. Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada Manoharan supaya golongan ini tidak terus 'besar kepala' dan menuntut lagi pelbagai tuntutan tidak munasabah.

Pengerusi Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz pula mahu tindakan tegas diambil terhadap Manoharan termasuk ditahan semula mengikut ISA kerana cuba mengeruhkan keharmonian negara.

"Kenyataan bongkak Manoharan itu seolah-olah mahu mencabar kerajaan. Sewajarnya beliau ditahan semula menerusi ISA," katanya.

Rabu, 8 Julai 2009

Larangan merokok di tempat awam tak dipatuhi

PUTRAJAYA: Larangan merokok di segenap premis dan kawasan kompleks jabatan kerajaan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008 menjadi tanda tanya apabila ia tidak dipatuhi, sama ada oleh kakitangan awam atau orang ramai.

Selain tidak ada notis yang tegas di pintu masuk utama kompleks bagi mengingatkan orang ramai atau kakitangan mengenai larangan itu, tinjauan Berita Harian di sini, mendapati masih ada yang merokok di pintu masuk, bangku di kawasan jabatan, tempat letak kereta dan motosikal serta berdekatan kafeteria.

Pada ketika Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertegas menguatkuasakan larangan itu sepenuhnya, Cuepacs pula memberi alasan ia berlaku kerana tabiat merokok sukar dihentikan serta-merta dan mencadangkan ruang khas untuk merokok di sediakan di premis kerajaan.
Jurucakap JPA ketika diminta mengulas perkara itu berkata, kakitangan dan orang awam tidak ada kesedaran mengenai larangan itu serta tindakan yang boleh dikenakan jika enggan mematuhinya.

"Bagaimanapun, meletakkan notis yang lebih tegas mengenai larangan itu adalah sesuatu yang wajar bagi mengingatkan kakitangan dan orang awam yang berurusan di jabatan kerajaan," katanya.

Mengenai cadangan Cuepacs itu, beliau berkata, ia sukar dilaksanakan kerana kebanyakan bangunan kerajaan menggunakan sistem pendingin hawa berpusat dan asap rokok akan kekal di dalam udara menyebabkan gangguan kepada orang lain.

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam sebelum ini berkata, tidak ada bukti menunjukkan rokok berupaya meningkatkan produktiviti kerja.

Berita Harian pada 26 Jun lalu melaporkan mengenai larangan merokok di segenap kawasan jabatan kerajaan mengikut peraturan itu dan mereka yang tidak mematuhinya boleh dikompaun maksimum RM5,000 atau didenda di mahkamah sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun. Kakitangan awam pula boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kakitangan awam perlu berusaha mengurangkan tabiat merokok pada waktu pejabat sebagai tanda disiplin dan berhenti secara perlahan-lahan.

Bagaimanapun, beliau mendakwa sukar untuk mereka yang bergantung kepada nikotin rokok untuk berhenti serta-merta kerana pergantungan sistem badan terhadap bahan kimia itu.

Beliau berkata Cuepacs sedang mencari penyelesaian terhadap perkara itu dengan JPA sebagai tanda prihatin terhadap kira-kira 35 peratus atau 420,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam yang merokok. BH

Isnin, 6 Julai 2009

risiko guna kereta lama

500,000 kakitangan awam berisiko guna kereta lama

Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my

Kenderaan bawah RM10,000 tidak dilindungi insurans

KUALA LUMPUR: Cuepacs mendedahkan sebahagian besar daripada kira-kira 500,000 kakitangan awam Kumpulan Sokongan Dua yang menggunakan kenderaan berharga kurang RM10,000 menghadapi risiko tanggungan jika terbabit kemalangan kerana tidak dilindungi insurans.

Presidennya, Omar Osman, berkata tindakan beberapa syarikat menolak permohonan memperbaharui perlindungan insurans kenderaan lama dianggap penganiayaan kepada kakitangan awam, terutama jika mereka terbabit dalam kemalangan ketika menggunakan kenderaan itu untuk berulang-alik ke tempat kerja.

"Kakitangan bawahan seperti pekerja rendah awam, pemandu, operator mesin dan pembantu am pejabat hanya mampu membeli kereta terpakai yang murah kerana tidak mampu membeli kereta baru.
"Kalau syarikat insurans pun tidak mahu lagi melindungi kenderaan mereka, apa lagi kemudahan yang mereka dapat nikmati kalau terjadi sesuatu yang tidak diingini ketika di jalan raya," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas tindakan beberapa syarikat menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga kurang RM10,000 kerana dianggap merugikan.

Syarikat terbabit memberi alasan kenderaan itu berisiko tinggi untuk diberi perlindungan insurans. Dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun dan ke atas bernilai kurang RM10,000 berada di jalan raya pada masa ini, termasuk lebih 900,000 Proton dan 300,000 kenderaan keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara didaftar antara 1994 hingga 1999.

Omar berkata, jika syarikat insurans terus berdegil, Cuepacs akan meminta kerajaan campur tangan dalam isu berkenaan kerana ia membabitkan kepentingan rakyat berpendapatan rendah.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata perlindungan insurans kenderaan baru lebih berisiko tinggi kerana terdedah kepada risiko kecurian dan kemalangan berbanding kenderaan lama.

Katanya, perlindungan insurans kenderaan baru juga lebih mahal kerana nilai pasarannya yang lebih tinggi, berbanding kenderaan lama yang lebih rendah harga pasarannya.

"Berbeza kenderaan baru, kadar tanggungan yang perlu dibayar oleh syarikat insurans terhadap kenderaan lama lebih rendah jika berlaku tuntutan.

"Tiada statistik yang menunjukkan pemilik kenderaan lama sering menuntut pembayaran insurans. Malah, terdapat ramai pemilik kenderaan yang melebihi 10 tahun tidak pernah membuat sebarang tuntutan," katanya.

Mohd Yusof berkata, Fomca memandang serius perkara itu dan mahu kerajaan mewujudkan satu garis panduan dan mekanisma mengenainya, termasuk menarik balik lesen syarikat insurans yang enggan memperbaharui insurans kenderaan lama.

Ahad, 5 Julai 2009

premium tambahan kelete lame

Premium tambahan kereta lama

Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Pemilik kenderaan lama bernilai kurang RM10,000 akan hanya dikenakan bayaran premium tambahan (loading) tidak lebih 50 peratus menerusi skim insurans berkelompok yang boleh dibeli di semua pejabat pos mulai bulan ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung, berkata kadar premium tambahan itu ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membolehkan pemilik kenderaan lama terus mendapat perlindungan insurans tanpa ditekan syarikat insurans.

Katanya, kadar premium tambahan maksimum 50 peratus itu ditetapkan bagi memastikan pemilik kenderaan lama yang bernilai kurang daripada RM10,000 terus mendapat perlindungan, manakala syarikat insurans pula terus mengekalkan kadar keuntungan.
“Premium tambahan akan tetap dikenakan menerusi skim insurans berkelompok yang kita perkenalkan tetapi kita menetapkan supaya kadarnya tidak terlalu tinggi, iaitu maksimum 50 peratus,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai skim insurans berkelompok yang diperkenalkan kerajaan mulai bulan ini bagi membantu mengatasi masalah mendapatkan perlindungan insurans bagi kenderaan termasuk teksi berharga kurang RM10,000.

Kelmarin, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata skim yang diwujudkan dengan kerjasama semua syarikat insurans itu dibuat berikutan masalah pemilik mendapatkan perlindungan insurans bagi memperbaharui cukai jalan.

Chor berkata, kadar premium tambahan yang akan dikenakan menerusi skim insurans berkelompok itu akan ditentukan berdasarkan beberapa faktor termasuk rekod berkaitan pemandu serta kenderaan mereka.

Sehubungan itu, katanya, pemilik kenderaan mungkin berdepan dengan proses saringan yang lebih teliti seperti penilaian terhadap rekod pemilik, pemandu, keadaan kereta serta berapa lama ia sudah berada di pasaran.

“Kita juga mungkin akan meneliti rekod tuntutan insurans pemilik berdasarkan kadar bonus tidak membuat tuntutan (NCB) sedia ada dan jika ia baik, kadar premium tambahan yang dikenakan mungkin lebih rendah berbanding mereka yang sebaliknya”’ katanya.

Diminta mengulas gesaan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) yang meminta kerajaan mengkaji semula kadar premium insurans yang kini semakin tinggi sehingga membebankan pengguna, Chor berkata, kadarnya sekarang jauh lebih rendah berbanding negara jiran.

Beliau berkata, sebenarnya kadar perlindungan insurans bagi pihak ketiga tidak pernah berubah sejak 1978 sehingga menyebabkan syarikat insurans mengalami kerugian, sekali gus menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga bawah RM10,000.

“Kita masih ikut tarif yang ditetapkan kerajaan sedangkan negara jiran seperti Singapura, Hong Kong dan Vietnam sudah memperkenalkan kadar fleksibel yang boleh naik turun bergantung kepada syarikat insurans,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Chor berkata, kerajaan sudah mengarahkan Bank Negara dan syarikat insurans mengkaji satu kadar munasabah bagi mengelakkan kerugian besar dan pada masa sama memberi keadilan kepada pengguna.

“Itu adalah penyelesaian dalam jangka masa pendek, tetapi bagi penyelesaian jangka panjangnya, saya percaya bahawa kita kena keluar daripada sistem kadar tetap yang kita guna pakai selama ini,” katanya.

Ditanya faktor yang menyebabkan syarikat insurans mengalami kerugian seperti didakwa industri itu dan menyebabkan pengguna menanggung beban jika kadar baru dilaksanakan, beliau berkata, mereka berdepan pelbagai peningkatan kos yang ketara.

Antaranya, kata beliau, kos operasi pentadbiran, membayar jumlah pampasan tinggi kepada pengguna bila berlaku kemalangan kerana tiada had jumlah pampasan ditetapkan mahkamah dan banyak kes kereta hilang atau dicuri setiap hari.

“Memandangkan semua alasan ini, syarikat insurans berpendapat setiap RM1 yang diterima dari pelanggan, mereka mungkin perlu bayar RM2.50 dan ia menimbulkan kerugian sehingga tidak lagi mahu jual insurans pihak ketiga,” katanya.

Jumaat, 3 Julai 2009

Kereta tua tak dapat insurans

Oleh Kamarulzaidi Kamis
kamarulzaidi@bharian.com.my

Syarikat enggan lindung kenderaan bawah RM10,000

KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat insurans kini menolak permohonan untuk memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga bawah RM10,000, termasuk teksi kerana dianggap merugikan.

Berdasarkan aduan yang diterima Berita Harian, syarikat terbabit memberi alasan kenderaan itu berisiko tinggi untuk diberi perlindungan insurans.

Dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun dan ke atas yang bernilai bawah RM10,000 berada di jalan raya pada masa ini, termasuk lebih 900,000 Proton dan 300,000 kenderaan keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara yang didaftar antara 1994 hingga 1999.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) ketika dihubungi semalam, mengesahkan pihaknya menerima banyak aduan mengenai perkara itu, terutama daripada pemilik teksi yang berusia 10 tahun ke atas.

Sehubungan itu, Fomca menggesa pihak berkuasa khususnya Bank Negara Malaysia dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memberi penjelasan berhubung perkara itu kerana ia akan menimbulkan masalah kepada pemilik kenderaan terbabit.

Ketua Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata tindakan itu tidak adil kepada pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah yang menggunakan kenderaan bernilai di bawah RM10,000.

"Kerajaan masih membenarkan rakyat menggunakan kenderaan berusia lebih 10 tahun. Saya tidak faham mengapa syarikat insurans tertentu enggan menerima permohonan dan pembaharuan insurans bagi kenderaan di bawah RM10,000," katanya.

Mohd Yusof berkata, syarikat insurans tidak mungkin menanggung kerugian selagi kenderaan berkenaan tidak terbabit dalam kemalangan.

"Setahu saya, masih tidak ada statistik rasmi yang menyatakan bahawa kadar kemalangan bagi kenderaan bernilai bawah RM10,000 atau berusia lebih 10 tahun adalah tinggi. Lagi pun, nilai yang dilindungi adalah rendah berbanding kereta baru," katanya.

PIAM ketika dihubungi semalam memberi jaminan akan meneliti aduan itu.

Sementara itu, sebuah syarikat insurans terbabit ketika dihubungi menjelaskan keputusan berkenaan dibuat berdasarkan kajian mendalam mengenai risiko dan keuntungan pada peringkat syarikat yang dibuat dari semasa ke semasa.

Jurucakapnya berkata, pihak syarikat sudah tentu mahu menjana keuntungan dan segmen perlindungan kenderaan di bawah RM10,000 dikenal pasti membawa kerugian kerana banyak tuntutan diterima.

Bagaimanapun, kajian peringkat syarikat akan terus dilaksanakan dan kemungkinan segmen itu diberi perlindungan semula jika ia didapati tidak berisiko tinggi pada masa akan datang.