'Tidak layak jadi warganegara'
KUALA LUMPUR: Pakar sejarah dan pemerhati politik, Prof Emiretus Datuk Dr Khoo Kay Kim, menyifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, M Manoharan tidak layak menjadi warganegara Malaysia.
Beliau berkata, songkok dan baju Melayu sudah diterima sebagai sebahagian daripada pakaian kebangsaan dan ia tidak perlu lagi dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
"Songkok atau baju Melayu adalah pakaian kebangsaan. Mengapa (Manoharan) berperangai seolah-olah tidak tahu. Kalau seseorang hendak mengadap sultan atau Yang di-Pertuan Agong, perlu pakai songkok dan baju Melayu. Kalau tidak mahu pakai, jangan jadi warganegara atau keluar saja dari Malaysia," katanya ketika dihubungi, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Manoharan yang berkata, beliau tidak akan memakai pakaian yang beridentiti atau bercirikan kemelayuan sebagai protes terhadap kerajaan yang enggan memberi status Bumiputera kepada bukan Melayu.
"Saya tidak akan pakai songkok atau baju Melayu dalam apa juga acara, termasuk majlis rasmi yang dianjurkan kerajaan negeri dan dihadiri Sultan Selangor," kata Manoharan.
Khoo berkata, beliau kesal kerana Adun Kota Alam Shah ini menjadi wakil rakyat yang hanya mahu menimbulkan perpecahan di dalam negara dan bukannya untuk berkhidmat kepada rakyat.
Beliau juga mempersoalkan motif sebenar Manoharan membangkitkan persoalan kecil yang sudah diterima rakyat Malaysia selama ini.
"Mengapa suka membesarkan perkara yang kecil. Wakil rakyat sepatutnya membantu membahagiakan rakyat, bukan menyebabkan perpecahan di kalangan rakyat. Kalau begini, lebih baik tidak payah jadi wakil rakyat," katanya.
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Muhammad Zaki Ibrahim, berkata pemakaian songkok sebagai pakaian istiadat bagi persidangan Parlimen, DUN mahupun ketika menghadiri majlis diraja perlu dihormati.
"Pemakaian songkok adalah pakaian istiadat yang digunakan sejak zaman berzaman. Hendak atau tidak, suka mahupun tidak kita perlu menghormati etika pemakaian itu.
"Bagi seseorang yang menduduki kerusi Yang Dipertua Dewan, maka secara langsung kita perlu menghormati etika pakaian yang ditetapkan dan ia tidak mendatangkan masalah. Malah siapa saja termasuk bukan Melayu juga perlu menghormatinya," katanya.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali, berkata beliau mengingatkan kepada orang Melayu supaya menginsafi diri mereka kerana kini wujud sekumpulan individu di negara ini yang berani menghina budaya Melayu.
Katanya, sikap Manoharan itu menunjukkan sebilangan kecil rakyat di negara ini tidak menghormati orang Melayu walaupun selama ini orang Melayu amat menghormati hak dan kebebasan kaum lain.
"Orang seperti ini sebenarnya tidak sedar `di mana bumi dipijak, di mana langit dijunjung'. Bagi diri saya, dia (Manoharan) hendak pakai apa pun pakailah. Kalau tidak mahu berpakaian pun tidak mengapa kerana kalau kita larang pun, kita dianggap tidak menghormati hak kebebasan orang lain dan kalau kita tegur, dianggap tidak demokrasi.
"Yang penting, orang Melayu perlu menginsafi diri sendiri kerana kini ada pihak yang mula berani memijak mereka," katanya.
Bagi bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nordin Ahmad, menyifatkan Manoharan biadap dan cuba mencabar hak Bumiputera.
Beliau mencabar Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, mengambil tindakan terhadap Manoharan yang menentang perlembagaan negara.
"Kita juga mahu Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menanganinya," katanya.
Jumaat, 10 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan