Kerajaan Selangor mungkir janji
Oleh RASMI ABDULLAH
kota@utusan.com.my
SHAH ALAM 15 Julai - Rakyat di negeri ini menyifatkan kerajaan negeri mungkir janji kerana tidak menjual 10 buah banglo Exco di Seksyen 7 di sini seperti yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya umum tahun lalu.
Mereka juga kesal dengan keputusan itu kerana sebelum ini kerajaan negeri sendiri mendakwa pembinaan banglo-banglo tersebut satu pembaziran.
Seorang pekerja swasta, Manshor Mohd. Rejab, 50, berkata, kerajaan negeri sepatutnya menunaikan janji mereka agar rakyat menaruh kepercayaan kepada barisan kepimpinannya.
"Mereka patut jual juga banglo itu seperti yang dijanjikan bagi menunjukkan mereka pemimpin yang berpegang pada janji.
"Sekarang apa sudah jadi, semua hanya tinggal janji-janji manis saja, saya juga rasa kecewa dengan keputusan kerajaan negeri kerana ini menunjukkan kepincangan kepimpinan mereka," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad memberitahu kerajaan tidak akan menjual premis tersebut.
Sebaliknya, banglo-banglo tersebut kini diserahkan pengurusannya kepada De Palma Hotels Sdn. Bhd., bagi urusan sewaan jangka pendek dan panjang.
Manshor berkata, adalah tidak logik tawaran jualan kesemua banglo itu tidak mendapat sambutan.
Seorang lagi pekerja swasta Mohd. Maleq Rahim, 27, berkata, kegagalan kerajaan negeri mengotakan janji menunjukkan barisan kepimpinannya pandai berpura-pura.
"Kalau tidak boleh tunai janji, jangan berjanji, kalau setakat cakap sahaja budak-budak pun boleh cakap macam itu. Kerajaan negeri hanya mengaburi mata rakyat dengan janji-janji kosong sahaja," ujarnya.
Presiden Persatuan Kebajikan dan Sosial Seri Permatang, S.Vijian Raj, 31, pula berpendapat, keputusan kerajaan negeri itu mungkin dipengaruhi oleh faktor ekonomi sekarang yang kurang memberangsangkan.
Katanya, kerajaan negeri mungkin takut mengalami kerugian jika menjual banglo itu sekarang.
"Saya harap kerajaan negeri dapat menunaikan janji mereka apabila ekonomi beransur pulih supaya tidak berlaku pembaziran," ujarnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan