Larangan merokok di tempat awam tak dipatuhi
PUTRAJAYA: Larangan merokok di segenap premis dan kawasan kompleks jabatan kerajaan mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008 menjadi tanda tanya apabila ia tidak dipatuhi, sama ada oleh kakitangan awam atau orang ramai.
Selain tidak ada notis yang tegas di pintu masuk utama kompleks bagi mengingatkan orang ramai atau kakitangan mengenai larangan itu, tinjauan Berita Harian di sini, mendapati masih ada yang merokok di pintu masuk, bangku di kawasan jabatan, tempat letak kereta dan motosikal serta berdekatan kafeteria.
Pada ketika Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertegas menguatkuasakan larangan itu sepenuhnya, Cuepacs pula memberi alasan ia berlaku kerana tabiat merokok sukar dihentikan serta-merta dan mencadangkan ruang khas untuk merokok di sediakan di premis kerajaan.
Jurucakap JPA ketika diminta mengulas perkara itu berkata, kakitangan dan orang awam tidak ada kesedaran mengenai larangan itu serta tindakan yang boleh dikenakan jika enggan mematuhinya.
"Bagaimanapun, meletakkan notis yang lebih tegas mengenai larangan itu adalah sesuatu yang wajar bagi mengingatkan kakitangan dan orang awam yang berurusan di jabatan kerajaan," katanya.
Mengenai cadangan Cuepacs itu, beliau berkata, ia sukar dilaksanakan kerana kebanyakan bangunan kerajaan menggunakan sistem pendingin hawa berpusat dan asap rokok akan kekal di dalam udara menyebabkan gangguan kepada orang lain.
Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam sebelum ini berkata, tidak ada bukti menunjukkan rokok berupaya meningkatkan produktiviti kerja.
Berita Harian pada 26 Jun lalu melaporkan mengenai larangan merokok di segenap kawasan jabatan kerajaan mengikut peraturan itu dan mereka yang tidak mematuhinya boleh dikompaun maksimum RM5,000 atau didenda di mahkamah sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun. Kakitangan awam pula boleh dikenakan tindakan tatatertib.
Sementara itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kakitangan awam perlu berusaha mengurangkan tabiat merokok pada waktu pejabat sebagai tanda disiplin dan berhenti secara perlahan-lahan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa sukar untuk mereka yang bergantung kepada nikotin rokok untuk berhenti serta-merta kerana pergantungan sistem badan terhadap bahan kimia itu.
Beliau berkata Cuepacs sedang mencari penyelesaian terhadap perkara itu dengan JPA sebagai tanda prihatin terhadap kira-kira 35 peratus atau 420,000 daripada 1.2 juta kakitangan awam yang merokok. BH
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan