MB bidas enggan patuh etika pakaian
SHAH ALAM: Keengganan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah dari DAP, M Manoharan memakai songkok atau baju Melayu ketika menghadiri majlis rasmi dibidas wakil rakyat Pakatan Rakyat.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Manoharan boleh memilih untuk tidak hadir pada majlis rasmi terutama di istana jika enggan mematuhi etika berpakaian.
"Beliau tidak boleh pergi menghadap Sultan jika tidak memakai pakaian mengikut istiadat. Dia boleh memilih untuk tidak pergi," katanya ketika ditemui di lobi Dewan Negeri Selangor, di sini semalam.
Beliau diminta mengulas kenyataan Manoharan kelmarin yang enggan memakai songkok dan baju Melayu ketika menghadiri majlis rasmi kerajaan negeri termasuk yang dihadiri Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Adun Sri Muda, Suhaimi Shafie pula mahu Manoharan sedar bahawa kemenangan beliau pada pilihan raya lalu kerana mendapat undi pelbagai kaum.
Katanya, Manoharan perlu belajar untuk tidak bersifat perkauman dan lebih sensitif atau peka dengan budaya masyarakat lain.
"Walaupun tidak memakai songkok adalah prinsip DAP sejak dulu, DAP sudah menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat dan perlu berubah mengikut kehendak semasa," katanya.
Sehubungan itu, Suhaimi mengingatkan Manoharan supaya berhenti daripada menimbulkan sebarang isu yang boleh memecah-belahkan perpaduan Adun Pakatan Rakyat di Selangor.
Adun Kota Damansara, Dr Mohd Nasir Hashim, berkata Manoharan perlu sedia menanggung risiko akibat tindakan beliau tidak mematuhi protokol jika ada pihak yang tidak puas hati.
"Beliau mungkin sudah bersedia dengan tindakan yang boleh dikenakan jika terus dengan prinsip ini. Kita tidak mampu buat apa jika membabitkan prinsip seseorang, apatah lagi perkara ini sudah lama diperjuangkan DAP," katanya.
Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pula menganggap kenyataan Manoharan bertujuan mencari publisiti murahan.
Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak berkata, Manoharan membuat kenyataan itu kerana mahu desakan supaya bukan Bumiputera diberi taraf Bumiputera mendapat perhatian ramai.
Beliau berkata, Manoharan hanya berani membuat kenyataan kerana sidang dewan kali ini tidak membabitkan keberangkatan Sultan Selangor.
"Kita tunggu majlis yang dihadiri Sultan Selangor dan tengok sama ada beliau berani tidak memakai pakaian rasmi," katanya.
Adun Kuala Kubu Baru, Wong Koon Mun pula simpati dengan Manoharan yang masih kekal dengan prinsip itu sedangkan ahli DAP lain sudah berubah dan ada yang memakai tengkolok pada majlis pengurniaan pingat.
Jumaat, 10 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan