Rabu, 10 Jun 2009

sistem kad..bayar sewa tapak bulanan


‘Sistem Kad’ permudah pembayaran sewa tapak bulanan

KAJANG – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) kini menggunakan ‘Sistem Kad’ di kebanyakan lokasi pasar malam sekitar kawasan pentadbirannya untuk kemudahan pembayaran sewa tapak bulanan.

Yang Dipertuanya, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman berkata, penjaja kini boleh terus membayar sewa tapak mereka kepada MPKj dan tidak lagi perlu membayar kepada penganjur dengan pengenalan sistem itu.

Menurutnya, penjaja di pasar pagi secara keseluruhannya menggunakannya manakala bagi penjaja pasar malam pula lebih daripada 50 peratus mulai mempraktikkan sistem itu.

“Penjaja hanya perlu membayar duit sewa tapak sebanyak RM2 bagi setiap petak kepada MPKj manakala duit kutipan sampah pula masih tetap dibayar kepada penganjur,” katanya kepada Sinar Harian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Aduan MPKj di Menara MPKj, semalam.

Hasan berkata, terdapat 14 lokasi pasar pagi dan 50 lokasi pasar malam di bawah pentadbiran MPKj dan sebelum ini penjaja pasar malam perlu membayar duit sewa tapak kepada penganjur terlebih dulu.

Beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai kad sewa tapak itu boleh terus hadir ke MPKj untuk melaksanakan pembayaran tapak sama ada untuk pasar pagi atau pasar malam dan ia akan lebih mudah.

“Maka, penjaja yang telah mempunyai kad sewa tapak mereka tidak lagi perlu membayar duit sewa itu kepada penganjur dan boleh membayar secara terus kepada MPKj dan kini hanya kutipan duit sampah akan dilakukan penganjur,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan