MPKj selesai 85 peratus aduan
KAJANG – Aduan yang diterima Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) daripada penduduk di taman perumahan bawah pentadbiran mereka secara purata mencecah sehingga 300 aduan seminggu.
Yang Dipertua MPKj, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman berkata, hampir 1,200 aduan diterima itu merangkumi pelbagai permasalahan dihadapi penduduk dan sebanyak 85 peratus daripadanya mampu diselesaikan MPKj.
Menurutnya, setiap aduan diterima daripada pelbagai mekanisme iaitu secara emel, surat, panggilan telefon dan pelbagai lagi malah bagi mereka juga boleh membuat aduan melalui sistem talian aduan rakyat Selangor (Stars).
“Bagi aduan yang tidak melibatkan kos, ia boleh diselesaikan dalam tempoh singkat antara dua hingga tiga hari tetapi jika ia melibatkan sebut harga tempoh untuk tindakan susulan akan memakan masa berikutan perlu melalui pelbagai proses,” katanya kepada Sinar Harian selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemantauan Aduan MPKj di sini, baru-baru ini.
Hasan berkata, antara aduan yang sering diajukan adalah berkaitan masalah persekitaran seperti sampah tidak dikutip, longkang tersumbat, anjing liar dan pelbagai lagi masalah yang telah menghantui penduduk sekitar.
Pada mesyuarat itu, Ahli Majlis MPKj, Steven Chan Jeong Hon turut membangkitkan bahawa adakah setiap aduan dilaporkan perlu dipantau pegawai bertugas berikutan tiada tindakan susulan diambil.
“Apabila sesuatu aduan tidak diselesaikan, penduduk akan memanjangkan perkara itu kepada Ahli Majlis dan sering ingin mendapatkan jawapan bila ia akan diselesaikan,” katanya.
Seorang lagi Ahli Majlis, Ong Seng Peng berkata, ada antara kakitangan tidak memberi kerjasama dan hanya melaksanakan tugas sendiri sahaja.
Seng Peng berkata, kadangkala ada antara penguat kuasa yang memantau kenderaan tidak memaparkan tiket parkir dan kebetulan terdapat tutup longkang yang rosak tetapi mereka tetap tidak melaporkan kepada Ahli Majlis.
Bagi Ahli Majlis, P Narayanan pula berkata, sistem memantau perlu dilaksanakan setiap pegawai bertugas dan penguat kuasa bagi memastikan tindakan terhadap aduan yang dibuat dilaksanakan.
“Setiap aduan yang diterima daripada penduduk perlu mendapat pemerhatian MPKj dan sama ada tindakan telah diambil atau sebaliknya pemantauan perlu dibuat supaya kita dapat memastikan diselesaikan,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan