Ahli kariah kawasan lain jadi AJK masjid, surau
MERUJUK kepada surat Ahli Veteran 1979, adalah diberitahu kepada beliau dan semua pembaca bahawa permasalahan yang dibangkitkannya turut melanda semua masjid dan surau seluruh negeri Selangor.
Bukan setakat arahan mengadakan Mesyuarat Agung Khas Pencalonan sahaja dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) malah syarat mendaftar sebagai ahli kariah juga telah ditetapkan untuk menjadi ahli jawatankuasa (AJK) masjid atau surau.
Ahli kariah bermaksud seseorang yang bermastautin di dalam kariah sesebuah masjid atau surau itu tanpa mengira asal usulnya. Ini untuk mengelakkan seseorang yang bermastautin di Shah Alam menjadi AJK masjid di Batang Kali contohnya.
Senarai ahli kariah ini ada ditampal di papan kenyataan masjid dan jangan terperanjat jikalau senarai baru AJK masjid atau surau yang dikeluarkan oleh JAIS ini terdapat AJK yang namanya tiada di dalam senarai ahli kariah.
Malah yang lebih menjengkelkan ialah terdapat AJK yang bukan ahli kariah dan tidak pernah kelihatan kelibatnya di sesuatu masjid atau surau telah dilantik.
Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor secara terang-terangan telah menipu dan memperbodohkan rakyat dengan arahan mengadakan mesyuarat agung khas pencalonan AJK masjid dan surau, pada hal mereka sebenarnya tidak akan menerima keputusan mesyuarat itu jikalau AJK yang dilantik bukannya orang yang mereka kehendaki.
Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor tentu sekali telah bersekongkol dengan parti politik cawangan sesuatu kariah bagi menentukan orang yang mereka kehendaki menjadi AJK masjid atau surau. Hal sebegini tidak pernah terjadi sebelum ini.
Seseorang perlu membuat laporan polis. Orang yang bertanggungjawab mengubah dan memalsukan keputusan mesyuarat hendaklah ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan.
AHMAD ALBAB
Puchong, Selangor
sumber:UM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan