Selasa, 16 Jun 2009

operasi kunci dewan/tabika di selangor

Sentral: Tabika dikunci pengurusan tertunggak sewa lima bulan

PELABUHAN KLANG: Kecoh dan hampir mencetuskan pergaduhan apabila jawatankuasa penduduk sebuah kawasan perumahan di sini, bertindak mengunci pintu Taman Didikan Kanak-kanak (tabika) menggunakan rantai besi, semalam.

Tindakan Jawatankuasa Komuniti Blok 1 Flet Seri Perantau itu kerana tidak berpuas hati dengan pihak pengurusan tabika berkenaan yang didakwa gagal melangsaikan tunggakan sewa sejak lima bulan lalu berjumlah RM2,500.

Jawatankuasa berkenaan bertindak mengunci pintu tabika berkenaan bermula jam 11 malam kelmarin bertujuan menghalang kanak-kanak memasuki tabika itu awal pagi semalam.
Berikutan itu, seramai 43 kanak-kanak yang datang jam 7.30 pagi untuk memulakan persekolahan selepas cuti dua minggu, terpaksa ditempatkan di khemah sementara yang dibina menggunakan kanvas.

Marah dan tidak puas hati dengan perbuatan jawatankuasa komuniti itu, kira-kira 40 penghuni flet itu berkumpul dan mendesak supaya tabika berkenaan dibuka semula dan tindakan itu hampir menimbulkan pergaduhan dengan wakil jawatankuasa komuniti blok berkenaan.

Namun, ketegangan itu berakhir apabila wakil jawatankuasa komuniti blok itu bersetuju membuka semula tabika berkenaan kira-kira pukul 11 pagi selepas berunding dengan Jawatankuasa Tabika Kemas itu.

Pengerusi Jawatankuasa tabika berkenaan, Che Li Abdul Hamid, 49, berkata tindakan Jawatankuasa Komuniti blok itu tidak bertanggungjawab kerana seolah-olah cuba menghalang kanak-kanak mendapat pendidikan.

Katanya, tabika itu tidak pernah menerima sebarang arahan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau Majlis Perbandaran Klang (MPK) berhubung pembayaran sewa sejak ia diwujudkan dua tahun lalu.

"Kita sudah memohon supaya tabika diwujudkan di blok ini tetapi dengan syarat kita sediakan tempat untuk beroperasi.

"PKNS dan MPK meluluskan tempat bawah blok ini untuk dijadikan tabika tanpa sebarang bayaran sewa manakala peruntukannya diperoleh terus daripada Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat)," katanya.

Che Li berkata, pihaknya tidak faham mengapa jawatankuasa komuniti menuduh Kemas menceroboh dan perlu membayar sewa RM500 sebulan sedangkan tabika itu hak bersama penghuni flet itu.

Guru tabika, Norbaini Suparman, 42, berkata tabika itu bukan hanya dikhaskan kepada kanak-kanak di Blok I, sebaliknya dibuka kepada semua kanak-kanak di seluruh Flet Seri Perantau.

1 ulasan:

  1. mandai2 kutip sewa..dah tubuh jmb ke belum? dah ada MC ke? kalau kedua2nya tak ada...mana boleh kutip sewa..ajk komuniti hagham le tu...!

    BalasPadam