Kecewa cara JAIS pantau masjid di Selangor
SAYA juga amat tertarik dengan tulisan Shah De Bunt dari Masjid Al-Hisam TTDI Jaya, di ruangan ini pada 2 Jun 2009 dan kagum dengan keberanian Tok Demang, Subang Perdana, mendedahkan kegagalan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memantau masjid-masjid di seluruh Selangor.
Kami dari Masjid Jamek Batu 14, Puchong, Selangor, telah menerima nasib yang lebih buruk lagi iaitu ada tangan-tangan ghaib yang telah mempengaruhi JAIS untuk mengubah keputusan mesyuarat agung untuk Mesyuarat Pencalonan Pegawai dan Jawatankuasa Masjid Kariah Batu 14, Puchong pada 25 Januari 2009 yang lalu.
Dalam mesyuarat tersebut ahli kariah yang hadir dalam mesyuarat tersebut telah bersetuju mencalonkan nama-nama ahli kariah yang hadir dan yang layak untuk mentadbir masjid ini mulai 1 Jun 2009 kelak setelah tempoh perkhidmatan AJK Masjid yang lama tamat pada 31 Mei 2009 ini.
Nazir masjid telah pun mengemukakan nama-nama calon yang telah diputuskan dalam mesyuarat tersebut kepada JAIS seterusnya untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pula, malangnya pada 24 Mei 2009 yang lalu setelah mendapat kelulusan dari MAIS, JAIS telah mengeluarkan senarai pegawai dan AJK Masjid Jamek Batu 14, Puchong yang baru dengan meminda beberapa jawatan di dalam senarai tersebut.
Pihak kami berasa kesal dan kecewa dengan sikap JAIS yang telah meminda beberapa jawatan penting di masjid ini. Jawatan yang dipinda daripada senarai asal ialah jawatan nazir, setiausaha dan bendahari.
Nama calon untuk jawatan bendahari yang telah dicalonkan oleh ahli kariah telah dimansuhkan dan sewenang-wenangnya digantikan oleh JAIS dengan calon yang lain.
Pihak kami berasa hairan bagaimana JAIS boleh menyenaraikan nama orang yang tidak hadir dalam mesyuarat dan tidak mendaftar sebagai ahli kariah boleh disenaraikan untuk menjawat jawatan bendahari sedangkan orang yang dicalonkan oleh anak kariah telah diketepikan.
Ini tentu ada tangan-tangan ghaib yang telah mempengaruhi JAIS untuk mengubah senarai asal. Kalau tak ada tangan-tangan ghaib ini yang mempengaruhi maka sudah tentu JAIS akan bersetuju untuk memilih nama AJK yang telah kami senaraikan itu.
Sebagai satu jabatan kerajaan yang bertanggungjawab dan berwibawa sepatutnya JAIS tidak melayan tangan-tangan ghaib ini untuk kepentingan mereka sendiri.
Pihak kami berasa kesal dan kecewa kerana JAIS kebelakangan ini tidak peka dan gagal untuk menyelesaikan beberapa masalah yang dihadapi oleh pihak masjid. Pihak kami percaya bahawa dengan adanya pegawai-pegawai di JAIS yang tidak jujur dan menyebelahi kepada satu pihak lain maka ada kemungkinan pihak JAIS sendiri yang akan memecah belahkan keharmonian masjid-masjid di seluruh negeri Selangor.
Saya difahamkan bahawa ramai AJK lama yang telah dicalonkan semula akan meletakkan jawatan masing-masing kerana tidak setuju dengan tindakan JAIS yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang telah dibuatnya sendiri.
Pihak kami berharap supaya Exco yang bertanggungjawab, Datuk Dr. Hassan Ali akan dapat memantau JAIS kerana di JAIS sendiri telah wujud orang yang curang dan tidak bertanggungjawab.
ANAK KARIAH BERDAFTAR
Puchong, Selangor
sumber:UM
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan