Isnin, 29 Jun 2009

High Chaparral

Penduduk minta Kampung Buah Pala dikekal

KAMPUNG Buah Pala, sebuah perkampungan penternakan lembu yang juga dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang ini sememangnya mempunyai signifikan tersendiri di kalangan penduduk Pulau Pinang.

Perkampungan flora yang terletak di atas sebuah bukit kecil di Bukit Gelugor ini didiami lebih daripada 65 keluarga sejak lima generasi atau hampir 200 tahun lalu.

Mengikut sejarah, tanah Kampung Buah Pala dipunyai keluarga Brown (sebelum merdeka), salah satu keluarga British yang kemudian menyerah tanah itu kepada kerajaan Pulau Pinang sebagai pemegang amanah.
Pada 1999, penduduk Kampung Buah Pala meminta kerajaan negeri untuk mewartakan tanah mereka sebagai tanah sebuah kampung tradisi Tamil sebagai simbol budaya nasional. Kini, sejarah High Chapparal ini akan terkubur begitu saja apabila usaha penduduk kampung ini untuk terus mempertahankan kampung mereka daripada aktiviti pembangunan akhirnya menemui penamat apabila rayuan mereka di Mahkamah Rayuan ditolak dan kekal dengan keputusan arahan untuk mengosongkan kediaman mereka sebelum 2 Julai ini.

Bagi mereka yang mengikuti perkembangan isu perkampungan ini, pastinya akan bersetuju sekiranya ada pernyataan mengatakan kerajaan Pulau Pinang lebih cenderung memilih untuk berdiam diri dalam usaha untuk menamatkan konflik ini.

Kesungguhan kerajaan negeri hanya terserlah melalui penubuhan jawatankuasa siasatan membabitkan penyelewengan dalam penukaran hak milik tanah berkenaan dan itu hanya dilakukan selepas 14 bulan Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri serta selepas selesainya pilihan raya Parlimen Permatang Pauh dan Dewan Undangan Negeri Penanti.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh (Malaysiakini, 12 Jun 2009) menyatakan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat boleh membuat kaveat terhadap tanah berkenaan. Ia secara langsung akan memberikan ruang masa yang banyak kepada semua pihak untuk mencari penyelesaian. Soalnya, mengapa kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengarahkan Pejabat Tanah untuk mengkaveatkan tanah berkenaan?

Ketua Menteri Pulau Pinang dengan kuasa eksekutifnya mengikut Seksyen 76 (a) Kanun Tanah Negara (KTN) dan Akta Pengambilan Tanah (Land Acquisition Act) boleh mengambil semula serta melindungi tanah berkenaan demi kebaikan rakyat. Mengapa tidak berbuat sedemikian?

Mesyuarat Majlis Tanah Negara Ke-64 pada 23 Disember 2008 menetapkan bahawa amalan berikut sebagai dasar pemberi milikan tanah secara selama-lamanya (in-perpetuity) dalam keadaan khas menurut seksyen 76(aa) KTN:

l Pemberi milikan tanah kerajaan untuk tempoh pegangan selama-lamanya melalui Peruntukan-peruntukan Khas mengikut Bahagian Dua Belas, Kanun Tanah Negara 1965 – Serah balik dan Berimilik Semula. Jika hak milik asal adalah pegangan selama-lamanya maka apabila hak milik itu diserahkan kepada kerajaan dan diberi milik semula kepada tuan punya tanah adalah menjadi tanggungjawab mandatori Pihak Berkuasa Negeri (PBN) untuk memberi milik semula untuk tempoh pegangan selama-lamanya;

l Sekiranya pemberi milikan untuk pegangan selama-lama dalam keadaan khas yang tertentu adalah diperlukan, maka kerajaan negeri adalah dinasihati supaya merujuk kepada Majlis Tanah Negara untuk mendapatkan persetujuan.

Apakah kerajaan negeri sudah merujuk permasalahan ini kepada Majlis Tanah Negara dalam usaha untuk membantu mendapatkan semula tanah berkenaan? Walaupun kerajaan negeri menunjukkan perasaan kemanusiaan terhadap penduduk ini melalui jaminan akan mencarikan penempatan lain kepada mereka, namun apa erti sebuah rumah baru ber-banding sebuah sejarah berusia 200 tahun?

EDWIN MICHAEL M,
Butterworth, Pulau Pinang.
Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan