KM enggan layan rayuan isu roboh penempatan
Oleh Amin Ridzuan Ishak dan Rudy Syareme Sheriffudin
bhnews@bharian.com.my
Penduduk Kampung Buah Pala berang Guan Eng lepas tangan
GEORGETOWN: Penduduk Kampung Buah Pala di Bukit Gelugor di sini, semalam, kecewa dan marah dengan keengganan Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bertemu untuk menyerahkan memorandum berhubung nasib mereka selepas perkampungan itu yang akan dimajukan.
Kira-kira 60 penduduk yang berkumpul di depan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sejak jam 4 petang dengan membawa sepanduk untuk meminta kerajaan negeri campur tangan dalam isu itu, pulang hampa.
Kelibat Guan Eng tidak kelihatan dan berikutan itu, polis mengarahkan kumpulan berkenaan bersurai. Bagaimanapun, penduduk enggan bersurai selagi Ketua Menteri tidak berjumpa dengan mereka.
Berikutan itu, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Ng Wei Aik, meminta kumpulan berkenaan masuk auditorium dalam bangunan berkenaan jam 5 petang.
Kumpulan itu bersurai secara aman jam 7.30 malam selepas Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman, berjumpa mereka.
Peguam yang mewakili penduduk terbabit, Darshan Singh Khaira, yang turut hadir bersama penduduk, menyindir kerajaan Pakatan Rakyat kerana sebelum ini berjanji untuk berjuang demi nasib penduduk.
Beliau juga memperli Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Delima, RSN Rayer yang sebelum ini membuat kenyataan 'langkah mayatnya dulu jika ada pihak mengambil tanah itu daripada penduduk'.
"Kami sudah menyediakan dua kubur," katanya yang kecewa kerana Guan Eng tidak mahu bersemuka dengan penduduk apabila berhadapan dengan masalah.
Darshan berkata, pemimpin Pakatan Rakyat berjumpa dengan penduduk ketika kempen pilihan raya lalu tetapi kini sebaliknya.
"Kenapa kini mereka melarikan diri, membiarkan kami. Inikah makna CAT (Cekap, Akauntabiliti dan Telus)," katanya.
Kemarahan penduduk dengan keengganan Guan Eng berjumpa mereka turut dirasai sekumpulan penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang mahu menyerahkan memorandum berhubung isu sama, pada sebelah pagi.
Mereka berkumpul di depan Komtar sebelum dibawa ke Tingkat Lima dan menyerahkannya kepada Ng. Memorandum itu diserahkan anak pemimpin pertubuhan yang diharamkan itu, W Vmaishhannavi, 7, yang turut disertai ibunya K Shanti.
Sementara itu, Santhi melahirkan rasa kesal dan kecewa kerana Guan Eng enggan bertemu mereka untuk menerima memorandum berkenaan.
"Saya kesal kerana suara penduduk tidak dipedulikan sungguhpun Pakatan Rakyat memimpin kerajaan sudah lebih 15 bulan dan Guan Eng tidak pernah melawat kampung itu," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P Ramasamy dalam perjumpaan dengan penduduk di kampung itu petang semalam, mengumumkan tempoh mengosongkan rumah dilanjutkan sebulan lagi.
Kampung Buah Pala yang juga dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang, membabitkan kawasan seluas 2.6 hektar, mempunyai 41 rumah dengan kira-kira 300 penduduk dan dikatakan kampung warisan tradisional kaum India.
Usaha terakhir penduduk untuk menyelamatkan perkampungan itu daripada dibangunkan gagal selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan mereka.
Bantahan secara aman turut diadakan pengikut Hindraf di depan ibu pejabat DAP di Petaling Jaya dan pejabat DAP di Ipoh, membantah keengganan kerajaan negeri campur tangan untuk menyelesaikan masalah penduduk Kampung Buah Pala.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan