Sambung rumah halang laluan
KAJANG: Sikap pentingkan diri seorang penghuni Pangsapuri Vista Perdana di sini, yang menyambung rumahnya di tingkat bawah pangsapuri itu menjadi seperti rumah teres mengakibatkan penghuni lain tidak berpuas hati.
Tinjauan Harian Metro ke pangsapuri berkenaan, mendapati penghuni rumah berkenaan menyambung bahagian hadapan rumahnya hingga menghalang laluan untuk pejalan kaki di sepanjang koridor.
Seorang penghuni yang hanya dikenali sebagai Amin, berkata tindakan penghuni berkenaan yang menyambung rumahnya menyebabkan seorang penghuni yang tinggal berhampiran rumahnya terpaksa berpindah.
“Dinding batu yang dibina di hadapan rumahnya menghalang angin daripada memasuki rumah berhampirannya menyebabkan seorang penghuni berasa tidak selesa dan terpaksa berpindah.
“Dinding batu berkenaan juga menghalang koridor yang sepatutnya menjadi laluan pejalan kaki menyebabkan kami terpaksa melalui jalan lain untuk pulang ke rumah,” katanya.
Menurutnya, penghuni pangsapuri berkenaan juga mencantas pokok yang ditanam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di hadapan rumahnya menyebabkan penghuni lain bimbang untuk meletakkan kenderaan di situ.
“Kami khuatir untuk meletakkan kereta di parkir kenderaan di hadapan rumahnya berikutan bimbang dihempap pokok berkenaan.
“Selain itu, tindakan menyambung rumahnya turut menutup kawasan longkang menyebabkan longkang berkenaan tersumbat dan menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya.
Sementara itu Ketua Unit Perancangan Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Shariman Mohd Noor, berkata penghuni pangsapuri tidak boleh mengubah suai atau menambah struktur bangunan tanpa kebenaran.
“Penghuni pangsapuri berkenaan boleh dikenakan tindakan kerana menambah struktur bangunan hingga menghalang kawasan koridor yang juga harta awam.
“Pihak kami akan mengambil tindakan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Seksyen 70 (12) kerana menjalankan pembinaan tanpa kebenaran MPKj dan boleh dikenakan kompaun sehingga RM25,000,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pihaknya juga akan mengarahkan penghuni berkenaan meruntuhkan struktur bangunan yang ditambah secepat mungkin.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan