Rabu, 10 Jun 2009

macam2 masalah penduduk

TAMAN SRI INDAH - Penduduk di Flat Sri Indah di sini bukan sahaja bimbang dengan kehadiran lori yang keluar masuk di kawasan perumahan mereka malah hidup dalam ketakutan apabila mendakwa hakisan tanah yang berlaku di belakang kediaman mereka mereka semakin parah.

Ahli Jawatankuasa (AJK), Majlis Perwakilan Penduduk (MPP), Bakri Hussien berkata, jika dahulu jarak kediaman mereka dengan Sungai Langat kira-kira 20 meter daripada sungai itu tetapi kini jaraknya kurang 10 meter akibat hakisan yang berlaku.

“Setiap kali hujan lebat pasti air sungai naik sehingga memasuki rumah di tingkat bawah ini, hal ini membebankan penduduk kerana terpaksa menanggung risiko ini,

“Tebing sungai ini semakin lembut dan mudah terhakis malah kami amat bimbang kerana ianya semakin menghampiri kawasan kediaman kami,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, pihak berwajib telah pun datang melihat lokasi kejadian ini namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga kini.

"Seharusnya tebing sungai ini dipasang pagar pengadang atau di tambak kerana jaraknya terlalu hampir dengan kawasan kediaman.

"Tambahan pula berhampiran dengan sungai ini adalah kawasan lapang yang menjadi tempat permainan kanak-kanak pada waktu petang, sudah pasti sebarang kemungkinan buruk bakal terjadi," katanya.

Selain itu katanya, masalah anjing liar juga membebankan penduduk di sini kerana telah ramai penduduk yang menjadi mangsa dan mengalami kecederaan akibat anjing liar ini.

Sementara itu, Mohd Farid Amran yang telah menetap 15 tahun di sini berkata, masalah anjing liar ini turut merunsingkan penduduk kerana ianya melibatkan keselamatan dan nyawa mereka.

“Hal ini sudah kerap kali dilaporkan kepada pelbagai pihak, namun kehadiran haiwan ini masih berleluasa di kawasan taman kami,

“ Sehinggakan kanak- kanak di sini tiada tempat untuk bermain kerana kawasan permainan mereka dikuasai haiwan ini,” katanya.

Farid berkata, beliau tidak menafikan bahawa ada pihak berkuasa yang datang untuk menangkap anjing ini, namun kehadiran mereka dilihat seperti tiada hasil atau perubahan yang dilakukan," katanya.

Sinar Harian pada edisi 3 Januari lalu ada menyiarkan tentang Fatimah Ali Zaman Khan, salah seorang penduduk di sini menjadi mangsa anjing liar ketika pulang mengambil anaknya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa anjing liar di kawasan perumahan berhampiran menemui ajal setelah koma 13 hari akibat diserang anjing liar ini.

Di samping itu, penduduk di sini juga bimbang apabila pemilik rumah teres di sini menjadikan kediaman mereka sebagai kedai runcit dan menjual minuman keras sewenang-wenangnya.

Dalam pada itu, Kamarul Arifin Zainuddin berkata, tindakan pemilik rumah menjadikan kedai runcit tidak sepatutnya berlaku tambahan pula mereka menjual minuman keras secara terbuka.

“Kawasan ini mempunyai remaja dan kanak-kanak yang ramai dan hal ini memberikan satu perspektif yang tidak baik kepada mereka,

“ Saya berharap benar hal ini dipandang serius kerana sebagai penduduk kami ada hak dengan apa yang berlaku di kawasan kami," katanya.

Rata-rata penduduk di sini bukannya mahu menuding jari kepada pihak berkuasa atau wakil rakyat di sini tetapi apa yang mereka harapkan adalah jalan penyelesaian bagi setiap permasalahan yang berlaku di sini.

Mereka juga berharap kerjasama daripada semua pihak agar masalah ini dapat di selesaikan dan penduduk di sini dapat hidup dalam keadaan aman dan tenteram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan