Motor pancit: Dirancang atau takdir?
Penunggang motosikal yang menggunakan kemudahan lorong khas motosikal sekitar Lembah Klang, ramai terpaksa menghadapi risiko tayar pancit sekali dalam sebulan, malah ada yang lebih malang seminggu sekali. Ini sekali gus membebankan urusan harian, termasuk ke pejabat akibat tayar motor pancit kerana terkena objek tajam di permukaan jalan.
Kejadian sebegini sudah menjadi lumrah mereka dan acap kali diperkatakan. Namun, masih belum menunjukkan tanda-tanda usaha pihak berwajib untuk memulihkan keadaan. Sama ada pihak pengendali lebuh raya lepas tangan atau pihak berkuasa yang tidak mengambil endah, yang terus menjadi mangsa ialah pengguna laluan sikal.
Sebagai pengguna, mereka terpaksa menghayati rencam kehidupan ini sebagai rutin biasa. Siapakah yang harus dipertanggungjawabkan ketika pengguna yang tidak mempunyai kuasa bersuara.
Wartawan Sinar Harian CONNIE S MONICAL dan SITI FATIMAH MUHAMMAD ALI serta jurugambar MOHD SAMSUL SAID cuba merungkaikan permasalahan pengguna yang semakin tertekan angkara keadaan ekonomi yang meleset dan keperluan membaiki segera tayar motor yang pancit untuk meneruskan perjalanan ke tempat kerja.
Tinjauan Sinar Harian di sepanjang lorong khas motosikal Lebuh raya Persekutuan minggu lalu, mendapati sekurang-kurangnya empat hingga lima motosikal mengalami masalah tayar pancit ketika waktu puncak (7 - 9 pagi).
Sepanjang tinjauan yang dilakukan, kami menemui pelbagai jenis paku dan objek yang mampu menembusi tiub tayar motosikal di kawasan yang agak tersembunyi, terutama di terowong-terowong khas.
Difahamkan, perbuatan ini sengaja dilakukan mereka yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan mencari pendapatan walaupun menyedari perbuatan itu tidak bermoral.
Sikap segelintir mereka ini menyebabkan beberapa yang lain terpalit cemuhan masyarakat walaupun pada asasnya langsung tidak terlibat dengan tindakan itu.
Suara-suara halus yang berbunyi “Siapa lagi yang hendak menabur paku di jalan kalau bukan tukang tayar” adalah ungkapan biasa bagi mereka.
Ada antara ‘mekanik jalanan’ yang mengenakan bayaran yang tinggi apabila kejadian tayar pancint berlaku waktu malam dan mereka dihubungi menerusi nombor yang ditinggalkan pada terowong bagi membantu menyelesaikan masalah tayar pancit.
‘Mekanik jalanan’ selalunya mengenakan bayaran berlipat kali ganda berbanding harga tidak sibuk. Bayaran yang dikenakan sehingga boleh mencecah RM60 bagi satu tiub walaupun harga pasaran hanya RM10.
Pengguna yang biasanya dalam keadaan ‘terpaksa’ akur tanpa berfikir panjang dan membayarnya.
Ada antara mereka menjadi ‘hero’ menawarkan memberikan bantuan walhal sebelum itu merekalah dalangnya, bijak mengatur strategi memancit tiub secara kebetulan.
Mereka mengambil kesempatan menawarkan khidmat dengan memaparkan nombor telefon untuk dihubungi di tepi-tepi jalan, di kawasan rehat, tiang lampu, kawasan terowong termasuk kawasan yang mudah dilihat penunggang ketika dilanda masalah.
Niat suci yang dipaparkan cukup menggambarkan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum ini suka membantu tanpa mengira masa di samping menjana kewangan. Namun itu bagi yang jujur. Bagi yang berniat sebaliknya, biarlah Tuhan saja yang memberi balasan terhadap segala tindak tanduk mereka selama ini.
Jika sebaliknya, saranan kepada pihak bertanggung jawab, terutamanya pengendali lorong khas itu perlulah memberikan lebih tumpuan kepada laluan utama motosikal kerana kemalangan boleh berlaku jika tayar motosikal yang ditunggang pecah tiba-tiba.
Kecelakaan berlaku tanpa diundang, berilah perhatian kepada mereka yang teraniaya. Dan kepada yang sengaja menjebak orang lain berada dalam kesusahan, bertaubatlah. Tuhan melihat setiap yang anda lakukan dan ingatlah hasil daripada kegiatan tidak baik itu tidak membawa berkat untuk seisi keluarga.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
belajar2lah bukak tayar sendiri,beli spanar,tiub dan pembuka tayar..macam aku,kalau moto pancit buat sendiri..
BalasPadamtayar pancit tak pa,takut ada peragut,penyanyak kat lorong motor tu pada waktu kesunyian malam.
awas, kalau balik malam2 tu..anda dinasihat jangan ikut lorong motor..akut aje highway...kawan aku dah kena dah..kena pau oleh geng botoi kicap..matrempit ada juga yg kaki penyangak!