Khamis, 16 Julai 2009

pencemaran ammonia dlm sumber air mentah

Pencemaran: Penyelesaian menyeluruh perlu demi pengguna

KAJANG – Walaupun Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 ditutup berikutan pencemaran ammonia dalam sumber air mentah tetapi penduduk sekitar Balakong dan Cheras tidak mengalami gangguan bekalan air.

Pengurus Besar, Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, Syabas mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) Kod Hijau bagi Wilayah Hulu Langat pada jam 1.30 tengah hari.

Menurutnya, ia bertujuan untuk memantau serta memastikan bekalan air dapat dibekalkan kepada pengguna secara berterusan menerusi sumber bekalan alternatif sedia ada termasuk pembekalan menerusi lori-lori tangki sekiranya perlu.

“Bekalan air dari Loji Rawatan Air Sungai Langat disalurkan bagi memastikan penduduk menerima bekalan air dari Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 tidak mengalami gangguan bekalan air.

“Keseluruhan kawasan yang sepatutnya mengalami gangguan bekalan air mendapat bekalan air seperti biasa berikutan tindakan awal diambil pihak kami,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Bagaimanapun, Halem berkata, Loji Rawatan Air Sungai Langat dijangka tidak mampu untuk menampung permintaan bagi kawasan terlibat sekiranya penutupan Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 berterusan dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata, Syabas sedang berusaha untuk menyalurkan bekalan air dari sumber alternatif yang lain bagi membantu menampung keperluan kawasan yang terjejas sehingga Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 beroperasi semula.

“Walaupun tidak mengalami gangguan bekalan air tetapi Syabas mengambil inisiatif dengan menyediakan empat lori tangki dalam keadaan tunggu sedia bagi membekalkan air sementara ke kawasan terlibat sekiranya berlaku gangguan bekalan air.

“Sehingga ke hari ini, Syabas masih belum menerima sebarang aduan daripada kawasan terbabit dan mereka turut mempergiatkan pemantauan paras air pada kola air utama malah tindakan segera akan diambil sekiranya terdapat aduan daripada pengguna,” katanya.

Namun demikian, Halem berkata, tempoh penutupan loji itu masih belum dapat dipastikan dan Puncak Niaga Sendirian Berhad (PNSB) sentiasa memantau serta melakukan ujian ke atas kualiti air mentah di muka sauk loji berkenaan.

Beliau berkata, ia adalah bagi memastikan loji itu telah bebas daripada pencemaran sepenuhnya sebelum ia boleh beroperasi semula dan kejadian penutupan loji sebegini adalah kejadian kelima sejak awal 2009.

Syabas ingin memaklumkan bahawa Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 yang diuruskan PNSB terpaksa diberhentikan operasinya bermula jam 10 pagi kelmarin berikutan pencemaran ammonia yang tinggi dalam sumber air mentah di muka sauk loji yang menerima bekalan air mentah dari Sungai Langat.

“Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 berkapasiti pengeluaran 27 juta liter sehari dan membekalkan air bersih kepada 130,000 pengguna di sekitar kawasan Balakong serta Cheras dengan jumlah 26,000 akaun pengguna,” katanya.

Halem berkata, PNSB bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Alam Sekitar, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) serta Indah Water Konsortium (IWK) masih berusaha untuk mengenal pasti punca pencemaran itu.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian sekitar Balakong mendapati penduduk menjalani rutin harian seperti biasa walaupun LRA Cheras Batu 11 ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Bahru Balakong, Yap Yoon berkata, sehingga semalam bekalan air di kawasan beliau masih dalam keadaan baik.

“Bekalan air masih tetap ada seperti biasa, cuma air kelihatan agak kotor berbanding daripada selu dan bagi kediaman yang memasang penapis air maka saluran air mereka tidak akan mengalami kekotoran seperti rumah lain,” katanya.

Manakala, seorang penduduk di Kampung Bahru Balakong, Yap Hock Keong berkata, tekanan air di penempatan itu semuanya stabil dan tidak berubah walaupun LRA Cheras Batu 11 ditutup.

Menurutnya, bekalan air tidak terganggu hanya air yang disalurkan sedikit keruh berbanding hari lain dan ia berkemungkinan disebabkan kandungan ammonia yang tinggi dalam sumber air mentah itu.

“Pada siang harinya keadaan air tidak kotor dan keruh tetapi bermula dari jam 8 malam bekalan air yang diterima menjadi keruh dan keadaan kembali pulih pada keesokan harinya.

“Keadaan ini adalah pertama kali berlaku dan kebanyakan penduduk tidak mengetahui berkaitan dengan penutupan LRA Cheras Batu 11 ini jika sebaliknya pasti mereka akan menadah air untuk persiapan sekiranya gangguan bekalan air berlaku,” katanya.

Sementara, seorang pemilik restoran, Ow Kar Wang berkata, selama dua hari bekalan air yang diterima adalah seperti biasa dan tidak mendatangkan sebarang masalah mahupun gangguan malah tekanan air juga tidak terganggu.

Menurutnya, sekiranya penutupan loji itu telah menyebabkan gangguan air berlaku tetapi beliau tetap akan meneruskan perniagaan seperti biasa dan mengambil inisiatif dengan membawa bekalan air dari rumah.

Sementara itu, Ahli Dewan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Kim Sin berkata, beliau kesal dengan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Cheras Batu 11 kerana ini bukan kali pertama kejadian berkenaan berlaku.

Menurutnya, satu penyelesaian menyeluruh perlu dilakukan semua syarikat bekalan air supaya perkara sebegini tidak berulang lagi, selain memastikan sumber air mentah disalurkan kepada pengguna adalah bersih dan selamat digunakan.

“Kandungan ammonia dalam air yang tinggi adalah dipercayai berpunca daripada pembuangan sampah ke dalam sungai, dan apabila ia terlarut dalam air, ia boleh menjejaskan kesihatan pengguna yang mendapatkan bekalan air daripada LRA itu.

“Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) perlu bekerjasama dengan semua syarikat bekalan air supaya mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang telah bertindak membuang sampah ke dalam sungai sehingga mengakibatkan pencemaran serius,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kim Sin berkata, kandungan ammonia yang tinggi juga dipercayai adalah berpunca daripada pengaliran air dari kilang yang beroperasi berhampiran dengan tebing sungai dan pihaknya sendiri akan membantu MPKj dalam mengenakan tindakan terhadap mereka yang ingkar dan telah mengalirkan sisa toksik ke dalam sungai berhampiran.

1 ulasan: