Tahan semula Manoharan bawah ISA
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 10 Julai - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan perlu ditahan semula di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran tindakannya tidak menghormati institusi raja selain terus mempertikaikan status bumiputera.
Menurut Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad, Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil tindakan itu memandangkan Manoharan sengaja mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara.
Beliau berkata, tindakan menegur rakannya yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) memakai songkok atas alasan bukan bumiputera merupakan bukti Manoharan sengaja mencetuskan provokasi di kalangan orang Melayu.
"GPMS melihat apa dinyatakan Manoharan di DUN Selangor kelmarin itu ada dua perkara besar iaitu kegagalannya menghormati institusi raja serta tindakannya yang sengaja membakar perasaan orang Melayu.
"Manoharan harus sedar tuntutannya itu bersifat biadap serta kurang ajar. Kenyataannya itu tidak menggambarkan dia seorang warganegara. Oleh itu sebelum perkara lebih buruk berlaku lebih baik Manoharan ditahan mengikut ISA," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Manoharan ketika muncul buat kali pertama di persidangan DUN Selangor kelmarin iaitu selepas dibebaskan daripada ISA Mei lalu, telah menyatakan kurang senangnya melihat Chang Khim memakai songkok semasa menjalankan tugas pada persidangan itu.
Ujar Manoharan, beliau tidak berapa gembira dengan pemakaian songkok kerana orang bukan Melayu tidak diberikan status bumiputera dan masih dilayan sebagai kumpulan berbeza.
Syed Anuar berkata, pemakaian songkok oleh Speaker bagi satu-satu DUN adalah untuk menghormati institusi raja kerana DUN merupakan lambang kepada pemerintahan Raja Berperlembagaan bagi sesebuah negeri.
"Sehubungan itu dalam usaha memelihara keamanan dan keharmonian kaum, kerajaan harus mengambil tindakan paling tegas dan segera. Jangan biarkan orang seperti ini ada dalam masyarakat kita," katanya.
Nada serupa turut disuarakan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Megat Zulkarnain Omardin yang mahu kerajaan mengambil tindakan paling tegas terhadap Manoharan.
Beliau berkata, orang Manoharan itu tidak harus dibiarkan kerana tindakannya terus mempertikaikan status bumiputera dan sengaja mencetus kontroversi pada persidangan DUN Selangor kelmarin boleh mengundang kemarahan masyarakat Melayu.
"Manoharan cuba bermain api kerana sengaja menyentuh hak keistimewaan golongan bumiputera yang selama ini dipelihara Perlembagaan Persekutuan," katanya yang juga Pengerusi Putera UMNO.
Sambil meminta kerajaan menyegerakan penahanan Manoharan di bawah ISA, Megat Zulkarnain mengingatkan kesabaran orang Melayu ada hadnya.
"Saya amat berharap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengambil perhatian dengan isu ini kerana Manoharan kini dilihat semakin berani membuat kenyataan berbau perkauman.
"Tolong jangan biarkan orang seperti ini kerana dia boleh menjadi perosak kepada keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini," katanya.
Presiden Pertubuhan Anak Muda Melayu Malaysia, Asrul Muniff Azizan menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Manoharan itu sebagai amat berbahaya.
Sehubungan itu, beliau mahu KDN khususnya Hishammuddin sebagai menteri bertanggungjawab mengambil tindakan tegas ke atas ADUN Kota Alam Shah itu sekiranya enggan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan kontroversi.
"Nampaknya sejak dibebaskan daripada tahanan ISA, Manoharan terus bertindak mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang amat berbahaya dan boleh menyebabkan rusuhan kaum.
"Kita tidak mahu keadaan ini berlaku kerana selama ini kita hidup dalam keadaan aman dan damai atas semangat tolak ansur serta kompromi. Mahu tidak mahu kerajaan wajar berbuat sesuatu sebelum kejadian lebih buruk berlaku," tambahnya.
Jumaat, 10 Julai 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Kaji semula taraf kerakyatan Manoharan
BalasPadamSHAH ALAM 12 Julai - UMNO Bahagian Shah Alam hari ini meminta kerajaan mengkaji semula taraf kerakyatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M.Manoharan yang jelas tidak taat kepada negara kerana tidak lagi menghormati Perlembagaan.
Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi M. Zin berkata, walaupun mengetahui perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan tidak boleh dipersoalkan demi keharmonian rakyat berbilang kaum, wakil rakyat itu masih melakukannya demi meraih populariti sendiri.
''Kita tahu dia lama dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) dan sekarang bila kerajaan bebaskan, dia langsung tak hargai malah cuba tarik perhatian rakyat dengan kemukakan isu-isu seperti ini.
''Jadi jika dia boleh menuntut hak dan keistimewaan yang telah diberikan kepada orang Melayu untuk kaum bukan Melayu, kita juga menuntut agar kerakyatannya dikaji semula.
''Ini kerana dia terlalu biadap dan orang seperti ini tidak layak menjadi rakyat di negara yang berbilang kaum kerana tidak tahu menghormati hak kaum lain," katanya selepas merasmikan penubuhan Persatuan Kebajikan Pesakit Buah Pinggang Shah Alam di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Manoharan yang menuntut kerajaan supaya memberikan taraf bumiputera kepada bukan Melayu.
GPMS buat laporan polis terhadap Manoharan
BalasPadamKUALA LUMPUR 12 Julai - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini membuat laporan polis terhadap M. Manoharan ekoran tindakannya mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara.
Laporan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam oleh Naib Presiden GPMS, Jais Abdul Karim dengan diiringi oleh 20 ahli GPMS dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Jais dalam kenyataan akhbarnya berkata, GPMS meminta polis menyiasat serta mengambil tindakan undang-undang terhadap Manoharan yang disifatkan berniat jahat kerana telah menaikkan kemarahan orang Melayu secara amnya.
"Nampaknya penahanan Manoharan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah gagal untuk mendidik dan menginsafkan beliau," ujarnya.
Manoharan ketika muncul buat kali pertama di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini selepas dibebaskan dari tahanan ISA Mei lalu, menyatakan perasaan kurang senangnya melihat Speaker DUN, Teng Chang Khim memakai songkok ketika menjalankan tugasnya pada persidangan itu.
Manoharan dilaporkan tidak berapa gembira dengan pemakaian songkok kerana orang bukan Melayu tidak diberikan status bumiputera dan masih dilayan sebagai kumpulan berbeza.
Jais berkata, pihak polis sewajarnya mengambil tindakan lebih keras ke atas Manoharan berhubung tindakannya itu.
Manoharan minta maaf isu songkok, status bumiputera
BalasPadamKUALA LUMPUR 15 Julai - Berikutan desakan daripada pelbagai pihak, M. Manoharan hari ini meminta maaf berhubung kenyataannya yang mempertikaikan pemakaian songkok dan mahukan bukan Melayu diberikan status bumiputera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah dari DAP itu memohon maaf sekiranya kenyataan peribadinya itu telah mengecilkan hati atau mengguris perasaan mana-mana pihak.
''Saya sesungguhnya tidak mempunyai apa-apa niat terselindung dan ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah pada bila-bila masa menyoal hak-hak orang Melayu seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
''Saya juga amat menghormati baju kebangsaan kita termasuk songkok," katanya dalam sepucuk surat yang diserahkan kepada Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Ibu Pejabat GPMS di sini hari ini.
Manoharan ketika muncul buat kali pertama pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 8 Julai lalu selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Mei lalu menyatakan kurang senangnya melihat Speaker DUN itu dari parti DAP, Teng Chang Khim memakai songkok semasa menjalankan tugasnya.
Manoharan dilaporkan berkata, beliau tidak berapa gembira dengan pemakaian songkok kerana orang bukan Melayu tidak diberikan status bumiputera dan masih dilayan sebagai kumpulan berbeza.
Pada sidang akhbar selepas persidangan DUN itu, Manoharan juga didakwa menuntut supaya kerajaan memberikan taraf bumiputera kepada bukan Melayu di negara ini yang lahir selepas 31 Ogos 1957 selaras dengan usaha merealisasikan gagasan 1Malaysia.
Dalam pada itu, Reezal Merican pada sidang akhbar selepas menerima surat itu berkata, permohonan maaf itu adalah susulan kepada laporan polis yang dibuat GPMS terhadap Manoharan pada Ahad lalu ekoran tindakannya mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara.
Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam oleh Naib Presiden GPMS, Jais Abdul Karim dengan diiringi oleh 20 ahli gabungan itu dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).
Gabungan Badan NGO Malaysia juga telah merancang untuk membuat laporan polis di setiap negeri bagi mendesak Manoharan ditahan semula di bawah ISA sekiranya beliau masih bertegas untuk tidak memohon maaf.
Menurut Reezal Merican, pihaknya tidak akan menarik balik laporan polis itu walaupun Manoharan telah datang sendiri berjumpa pihaknya bagi menyerahkan surat permohonan maaf itu.
Katanya, ketika perjumpaan itu, beliau telah mengingatkan Manoharan supaya tidak mengulangi kenyataan sedemikian kerana ia boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.
Menurut beliau, ADUN Kota Alam Shah itu juga telah menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sekembalinya Perdana Menteri dari Mesir bagi memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu yang didakwanya telah disalah tafsir oleh media.
Jelas beliau, dalam pertemuan itu nanti, Manoharan juga mahu menyatakan sokongan terhadap gagasan 1Malaysia yang berteraskan kepada konsep penerimaan, perkongsian dan kesaksamaan.