Isnin, 13 Julai 2009

kadar premium insurans kenderaan melampau

BNM kaji kadar premium insurans kenderaan 'melampau'

PULAU PINANG 12 Julai - Bank Negara Malaysia (BNM) akan membuat rombakan terhadap kadar premium insurans kenderaan bermotor bagi mencari satu kadar yang sesuai dan adil untuk semua pihak.

Pengurus Unit Pengurusan Aduan dan Khidmat Nasihat, Jabatan Komunikasi Korporat BNM, Datin Khalijah Hashim berkata, sekarang adalah masa paling sesuai untuk BNM berbuat demikian kerana polisi yang digunapakai kini berusia lebih 30 tahun.

Menurutnya, ia juga berikutan aduan orang ramai mengenai perkara itu yang semakin hari semakin banyak dan setakat ini perbincangan sedang berjalan antara BNM dan 34 syarikat Insurans Am Malaysia (IAM).

"Kami menyedari dan menerima banyak rungutan tentang kadar premium insurans untuk kenderaan bermotor yang terus naik terutama bayaran penyambungan insurans motosikal pihak ketiga.

''Jangan risau, semuanya akan diambil kira dalam perbincangan ini. BNM sedang cuba membuat satu rombakan yang adil dan sesuai untuk semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perjumpaan Persatuan Pengusaha Pengangkutan Lori Wilayah Utara (PPPLWU) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan BNM di sini hari ini.

Menurut Khalijah, kadar baru premium insurans itu nanti akan tetap mengambil kira tiga faktor utama iaitu umur kenderaan, umur pemandu dan jumlah tuntutan yang pernah dibuat pemandu.

Katanya, jika risiko semakin tinggi, kadar premium yang dikenakan juga lebih tinggi sedikit daripada kadar biasa.

''Sebagai contoh, jika usia kenderaan lebih 10 tahun dan pemandu yang memohon juga usianya sudah 50 tahun, kadar premium insurans memang lebih tinggi kerana risikonya tinggi dan begitulah sebaliknya.

''Saya tidak dapat menetapkan bila kadar baru ini dapat diumumkan kerana ia masih pada tahap perbincangan," jelasnya.

Sementara itu, Khalijah berkata, bagi mereka yang sukar melakukan penyambungan insurans motosikal bagi pihak ketiga ekoran banyak syarikat insurans enggan berbuat demikian kini boleh mendapatkan perlindungan Malaysian Motor Insurance Pool (MMIP) di cawangan-cawangan Pos Malaysia mulai 10 Julai lalu.

Dalam keadaan pasaran insurans motor mengalami kerugian besar sekarang, katanya, banyak penanggung insurans sama ada enggan mengambil risiko ataupun mengurangkan risiko taja jamin, terutamanya bagi insurans pihak ketiga.

Bagaimanapun, menurut beliau, orang ramai boleh mencari altenatif lain dengan mendapatkan perlindungan insurans daripada MMIP.

''Jangan jadikan satu alasan untuk kita tidak mahu dilindungi insurans kerana ia amat penting terutama apabila berlaku kemalangan.

''Walaupun kadar yang dikenakan MMIP lebih tinggi, namun ini adalah alternatif terbaik kerana banyak syarikat insurans tidak mampu lagi menanggung nisbah tuntutan yang banyak daripada pengguna setiap tahun terutama bagi insurans pihak ketiga," katanya.

1 ulasan:

  1. PERMINTAAN agar kerajaan membantu rakyat dalam masalah kenaikan insurans 200 peratus bukan sahaja berkumandang di Dewan Rakyat tetapi juga di dalam ruangan Forum akhbar ini minggu lalu.

    Hakikatnya kenaikan insurans kenderaan ini memberi tekanan kewangan kepada pemilik kenderaan terutama golongan berpendapat rendah dan sederhana.

    Jadi tidak salah jika mereka memohon Bank Negara Malaysia supaya mengambil perhatian memantau kadar baru premium insurans.

    Bank Negara Malaysia dalam reaksi terhadap aduan dan rungutan orang ramai menjelaskan akan membuat rombakan terhadap kadar premium insurans kenderaan bermotor bagi mencari satu kadar yang sesuai dan adil untuk semua pihak.

    Kita juga mengharapkan polisi yang diguna pakai sejak lebih 30 tahun itu dikaji semula.

    Kalau boleh dicari formula bagi mengira kadar baru premium insurans.

    Jika difikirkan formula yang mengambil kira tiga faktor utama iaitu umur kenderaan, umur pemandu dan jumlah tuntutan yang pernah dibuat pemandu itu membebankan pengguna maka elok ia diubah suai.

    Ada banyak pemilik kenderaan yang langsung tidak pernah membuat tuntutan insurans, jadi adalah tidak adil apabila kadar premium semakin tinggi berdasar tiga faktor itu.

    Oleh itu Bank Negara perlu segera mengeluarkan satu keputusan mengenai isu ini secepat mungkin.

    Lagi lama ia ditangguhkan makin banyak kerugian ditanggung oleh pemilik kenderaan yang ingin memperbaharui lesen kenderaan.

    Sepanjang tahun ini, pemegang polisi insurans pihak ketiga yang paling menderita kerana terpaksa membayar kenaikan premium sebanyak 200 peratus.

    Golongan ini adalah mereka yang kurang mampu untuk membeli kenderaan baru. Bahkan ada yang tidak mampu membayar insurans pihak pertama maka mereka terpaksa menggunakan insurans pihak ketiga.

    Tetapi kita agak terkejut dengan sikap sesetengah syarikat insurans yang sombong dan tidak mahu menjual polisi perlindungan pihak ketiga.

    Kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap taktik dan tipu helah syarikat insurans.

    Mengapa rakyat harus berhadapan dengan kenaikan kadar premium insurans untuk kenderaan bermotor setiap tahun?

    Elok kita tanya kepada Bank Negara, adakah trend untuk menaikkan kadar insurans itu telah mendapat kelulusan Parlimen mahu pun Kabinet?

    Jika tidak, tolong beri penjelasan.

    Isu ini usah dipandang remeh kerana kesannya amat besar kepada rakyat yang tinggal di bandar mahupun di luar bandar.

    Kerajaan tidak patut membiarkan kenaikan kadar premium insurans yang amat membebankan rakyat ini.

    Syarikat-syarikat insurans tidak patut dengan sewenang-wenangnya mengaut keuntungan besar, sedangkan dengan peraturan mewajibkan semua pemilik kenderaan memiliki insurans - ia sudah menjamin pendapatannya. Apatah lagi jumlah pendaftaran kenderaan baru negara ini meningkat setiap tahun.

    Dalam suasana ekonomi sekarang, syarikat insurans tidak harus menaikkan polisi insurans pihak ketiga hingga membebankan hidup rakyat.

    Sekali lagi kita gesa Bank Negara agar percepatkan usaha mencari satu kadar premium insurans yang sesuai dan adil untuk semua pihak.
    sumber:UM

    BalasPadam