Cukai pintu MPSepang terlalu tinggi
SEPANG 15 Julai - Penduduk di Desa Pinggiran Putra Fasa Satu di sini tidak berpuas hati dengan kadar cukai taksiran yang dikenakan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) yang didakwa mereka sebagai terlalu tinggi.
Penduduknya mendakwa, cukai pintu yang dikenakan MPSepang iaitu sehingga 7.35 peratus ke atas nilai tahunan harta penduduk tidak sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan.
Menurut mereka, kadar tersebut juga jauh lebih tinggi berbanding yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Selangor termasuk Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Pengerusi Persatuan Penduduknya, Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, kualiti perkhidmatan kontraktor lantikan MPSepang juga didapati semakin merosot.
"Antara satu masalah yang dihadapi penduduk ialah rumput di kawasan perumahan yang jarang dipotong.
"Parit di taman perumahan juga tidak diselenggarakan dengan baik di mana sampah yang dikeluarkan dari parit hanya diletakkan di tepi jalan dan tidak dibersihkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Mohamad Zabawi berkata, penduduk di Desa Pinggiran Putra sepatutnya dikenakan cukai pintu yang lebih rendah memandangkan kemudahan awam yang dinikmati adalah terhad.
"Kawasan perumahan kami tidak dihubungi dengan bas awam serta tidak mempunyai pejabat pos.
"Keadaan ini menunjukkan Desa Pinggiran Putra seakan-akan terpinggir daripada arus pembangunan," katanya.
Menurutnya, pokok-pokok besar di Desa Pinggiran Putra juga tidak dicantas sehingga membahayakan keselamatan nyawa dan harta penduduk.
"Penduduk di sini meminta MPSepang segera mencantas pokok-pokok yang terlalu terbesar supaya perkara yang tidak diingini dapat dielakkan," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
nampak gaya gula2 PRU12 lalu,cukai pintu akan dikurang tak dapek dikotakan...huh.huh..huh!!!
BalasPadam