Enam perkara baru perkasa PBT Selangor
SUBANG JAYA 13 Jan. - Kerajaan negeri Selangor memperkenalkan enam perkara baru dalam usaha meningkatkan integriti dan produktiviti pihak kuasa tempatan (PBT) di negeri itu.
Enam perkara itu juga dilihat sebagai satu anjakan baru dan satu langkah ke hadapan dalam usaha memberikan perkhidmatan berkualiti kepada seluruh rakyat.
Antara yang paling utama ialah pengenalan buku prosedur penguat kuasa PBT yang bertujuan menyeragamkan prosedur tugas kesemua 12 buah PBT di seluruh Selangor.
Buku yang memuatkan prosedur tugas harian, siasatan, pemeriksaan premis, penggeledahan, kompaun serta sita diyakini akan memperkasakan lagi PBT terutama dari segi penguatkuasaan.
Pelancaran buku arahan tetap itu juga adalah antara usaha penambahbaikan agensi penguatkuasaan negeri itu kerana ia semua arahan tetap adalah sama di seluruh Selangor.
Selain itu, pengenalan buku ringkasan undang-undang pula akan menjadi 'kitab ringkas' yang akan membawa kerja-kerja penguatkuasaan lebih efisien, tepat dan cepat.
Wajah baru PBT Selangor juga dicantikkan lagi dengan pengenalan logo serta imej baru pakaian seragam anggota penguat kuasa yang lebih menarik dan membanggakan.
Logo yang memaparkan slogan Mesra, Cekap dan Berintegriti akan dipakai di sebelah kanan baju sepanjang masa bertugas oleh semua anggota penguat kuasa.
Sementara itu, Sukan Penguat kuasa yang diadakan pada setiap bulan sepanjang tahun ini akan dijadikan jambatan untuk mengeratkan hubungan sesama anggota PBT di Selangor.
Dalam ucapan perasmiannya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Pusat Latihan Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (Pulapes) dan induknya, Institut Latihan PBT (ILPBT) kerana menyiapkan 38 modul latihan yang komprehensif kepada setiap PBT di Selangor.
"Modul itu mampu meningkatkan lagi tahap profesionalisme anggota penguat kuasa PBT yang keseluruhannya berjumlah hampir 1,600 orang.
"Selari dengan slogan 'Mesra, Cekap dan Berintegriti yang dilancarkan, kita mahu setiap anggota benar-benar komited dan sentiasa berada pada tahap terbaik semasa berkhidmat," ujarnya.
Tambahnya, semua prosedur operasi yang ditetapkan harus diikuti untuk menjamin kualiti anggota PBT serta mengurangkan aduan yang dibuat oleh penduduk terhadap PBT.
"Kerjasama yang diberikan oleh setiap PBT dalam menjalankan tugas serta ketetapan prosedur yang sama adalah asas kecemerlangan semua PBT di Selangor.
"Saya mahu kerjasama di antara PBT di negeri ini berkekalan dalam setiap tugas dan prosedur kerja mereka sehari hari.
"Ini akan menjamin kepuasan pelanggan, selain memperkasakan agensi penguatkuasaan di negeri ini,'' katanya.
sumber:UM
apa nak perkasa pbt ts!!!tak guna kalau ada org campur tangan dlm penguatkuasa pbt!!
BalasPadam