Selasa, 19 Januari 2010

jangan buang puntung rokok

MPAJ denda individu buang puntung rokok

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Buat pertama kalinya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan tiga kompaun kepada individu yang membuang puntung rokok di bawah Akta 132, Seksyen 47(1)(a) di kawasan Ampang Point baru-baru ini.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad dalam kenyataan akhbarnya di sini hari ini, kompaun berkenaan dikeluarkan oleh penguat kuasa MPAJ yang meronda di kawasan itu kepada individu berkenaan yang dengan sengaja membuang puntung rokok di merata-rata.

Individu berkenaan dikenakan kompaun sebanyak RM500.

"Sebenarnya, dalam menangani masalah pembuangan sampah ini, selain MPAJ, masyarakat sendiri memainkan peranan penting dalam memelihara kebersihan alam sekitar.

"Kerjasama bersepadu antara masyarakat dengan semua agensi-agensi berkaitan dapat melestarikan persekitaran dengan lebih baik lagi.

"Sikap penduduk sendiri yang membuang sampah merata-rata dikenal pasti menjadi punca persekitaran yang kurang bersih," katanya dalam kenyataan tersebut.

Tambah beliau, sikap menuding jari dan asyik meletakkan tindakan pembersihan di bawah penyelarasan pihak berkuasa tempatan semata-mata juga tidak seharusnya berlaku.

Sebaliknya, beliau menekankan bahawa masyarakat perlu bersama-sama memainkan peranan menjaga kebersihan kawasan mereka dan secara tidak langsung membantu MPAJ mengatasi masalah kebersihan kawasan.

"Adalah sukar untuk mengubah etika dan sikap segelintir masyarakat kita ini melainkan dengan menjalankan tindakan penguatkuasaan secara berterusan dan berkala," tegasnya.

sumber:UM

nota: dulu2 DBKL pernah kompaun aku Rm 30 kerana buang puntung rokok..sekarang tak taulah DBKL masih menjalankan operasi ni..semuga usaha MPAJ ni menjadi contoh kepada PBT di Selangor...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan